England: Arsenal mencipta rekod ketika kemenangan besar 6-0 ke atas Sheffield United awal pagi tadi membantu The Gunners menekan Liverpool dan Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Martin Odegaard, gol sendiri Jayden Bogle, Gabriel Martinelli, Kai Havertz dan Declan Rice membolehkan pelawat mendahului 5-0 ketika rehat sebelum Ben White melengkapkan jaringan pada babak berikutnya.
Anak buah Mikel Arteta muncul pasukan pertama menang tiga perlawanan berturut-turut dalam liga utama Inggeris di gelanggang lawan dengan lima gol atau lebih.
“Apabila kami memegang bola, mood kami terlalu bagus hari ini,” kata kapten Arsenal, Odegaard.
“Mencipta banyak peluang, menjaringkan gol lebih awal – satu persembahan yang bagus.”
Sebaliknya, Sheffield United turut melakar rekod baharu dengan muncul pasukan pertama liga utama Inggeris yang dibolosi lima gol atau lebih dalam tiga perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri.
“Ia musim yang menyakitkan dan mereka adalah kelompok pemain yang sudah rosak,” kata bos Blades, Chris Wilder.
“Mereka dalam liga berbeza, planet berbeza berbanding kami. Kami tidak mampu mencabar mereka.”
Rekod 31 jaringan Arsenal dalam tujuh kemenangan EPL berturut-turut sejak rehat musim sejuk sekurang-kurangnya membina satu kelebihan besar berbanding musuh mereka sekiranya kejuaraan ditentukan menerusi perbezaan jaringan.
Mereka kekal di tangga ketiga, hanya dua mata di belakang pendahulu Liverpool dan satu di belakang juara bertahan City.
Bagaimanapun, anak buah Arteta boleh merampas tangga teratas jika menang di laman sendiri menentang Brentford Sabtu ini menjelang pertembungan besar antara Liverpool dan City di Anfield sehari kemudian.
“Saya suka cara pasukan bermain. Kualiti dan tahap agresif yang kami pamerkan sejak awal,” kata Arteta.
“Kami perlu terus melakukan apa yang kami lakukan.”
sumber:- BH
Pasukan kendalian Wilder kekal di tangga tercorot liga, 11 mata berbanding zon selamat dengan berbaki 11 perlawanan.
Arsenal pula hanya dipisahkan 11 perlawanan daripada kejuaraan liga pertama dalam tempoh 20 tahun dan berharap untuk meneruskan rentak cemerlang mereka hingga ke hujung musim. – AFP