global

Tarkowski nafikan Liverpool tiga mata

LIVERPOOL, England: James Tarkowski meledak pada minit ke-98 untuk membantu Everton seri 2-2 dengan Liverpool ketika empat kad merah dilayangkan selepas masa tamat pada perlawanan penuh dramatik pertembungan musuh tetangga Merseyside terakhir di Goodison Park, awal pagi tadi.

Liverpool melonjak tujuh mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi dinafikan kemenangan oleh jaringan mengejutkan Tarkowski selepas Mohamed Salah meletakkan anak buah Arne Slot di depan.

Pemain Everton, Abdoulaye Doucoure, pemain tengah Liverpool, Curtis Jones, Slot dan pembantunya Sipke Hulshoff dibuang padang ketika keadaan semakin tegang selepas wisel penamat pada malam Liverpool akan menyesal jika mereka tidak memenangi liga utama Inggeris dengan menyamakan rekod kejuaraan 20 kali.

Everton akan berpindah ke stadium baharu berkapasiti 53,000 di Bramley Moore Dock musim depan dan memberikan gelanggang mereka sejak tahun 1892 malam yang boleh diingati menentang musuh tetangga mereka.

Impian Liverpool untuk meraih empat kejuaraan berakhir dengan kejutan tersingkir di tangan kelab divisyen kedua Plymouth dalam Piala FA Ahad lalu.

Slot melakukan 10 perubahan ketika beliau kembali menurunkan skuad terkuat dengan Salah dan kapten Virgil van Dijk antara yang direhatkan hujung minggu lalu.

The Toffees menang tiga aksi terakhir EPL untuk melonjak sembilan mata di atas zon penyingkiran dan bermula dengan cemerlang.

Liverpool kelihatan termangu selepas 11 minit susulan sepakan percuma pantas Jarrad Branthwaite yang menemui Beto, menewaskan Alisson Becker bagi gol ketiganya dalam dua perlawanan.

The Reds pantas membalas dengan Alexis Mac Allister memulakan dan menamatkan gerakan apabila pemain tengah Argentina itu menyelinap masuk ke dalam kotak penalti untuk menanduk masuk hantaran silang Salah.

Slot kelihatan kecewa dengan kegagalan pasukannya menembusi benteng lawan dan mengalih ke bangku simpanannya dengan Trent Alexander-Arnold, Jones dan Darwin Nunez dibawa masuk untuk mencari gol kemenangan.

Perubahan itu menjadi ketika gol Salah dilihat mampu menjadi gol kemenangan.

Jones dan Nunez bermain satu dua sebelum rembatan Jones dihadang Branthwaite, namun jatuh di depan Salah yang merembat masuh gol ke-27 buatnya musim ini.

Everton kemudian mengasak dan pertahanan tengah Tarkowski menyepak masuk gol penyamaan pada minit kelapan masa kecederaan.

Semakan VAR yang panjang terhadap kemungkinan ofsaid dan penyokong Everton terpaksa dikeluarkan dari padang sebelum perlawanan disambung semula.

Apabila aksi bersambung lebih banyak kekecohan berlaku bila mana Doucoure dan Jones kedua-duanya dibuang padang selepas pemain tengah Everton itu meraikan gol di depan penyokong Liverpool.

Slot dan Hulshoff turut dilayang kad merah kerana membantah keterlaluan terhadap pengadil Michael Oliver selepas perlawanan tamat. – AFP