sukan

4 lagi ‘harimau warisan’ sertai skuad negara

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya bakal lebih menyengat dengan kemasukan empat lagi pemain berdarah warisan bagi panggilan kali ini.

Empat pemain terbabit adalah Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado yang secara rasmi menyertai skuad senior Harimau Malaya.

Pengesahan ini sekali gus menamatkan spekulasi membabitkan status pemain berdarah warisan baharu yang berlegar-legar di media sosial sejak minggu lalu.

Keempat-empat pemain ini juga sudah menjalani sesi latihan bersama pasukan kebangsaan dan menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan.

Malaysia NT dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebagai pemain yang berkualiti, empat pemain terbabit cukup bersedia untuk memperkukuh skuad negara demi merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia.

“Sejak saya tiba di kem latihan negara, Malaysia sudah memberikan yang terbaik untuk saya.

“Saya dapat merasakan ia sesuatu yang amat istimewa untuk mewakili pasukan Harimau Malaya dan ia adalah satu penghormatan dan saya akan berikan segalanya.” kata Machuca.

Empat pemain ini menyertai seorang lagi pemain berdarah warisan yang beraksi bersama Deportivo Alaves, Facundo Garces yang diumumkan, Isnin lalu.

sumber:- BH

Bersama kemasukan lima pemain berdarah warisan ini, skuad negara setakat tahun ini memiliki tujuh pemain berdarah warisan baharu termasuk Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang diperkenalkan, Mac lalu.