sukan

4 pasukan Liga Super boleh daftar 12 import

KUALA LUMPUR: Pasukan yang beraksi dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) berpeluang memperkukuhkan lagi pasukan mereka selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan mereka untuk menambah dua lagi pemain import.

Perkembangan terbaharu itu menyaksikan empat pasukan yang berentap di pertandingan luar domestik iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC (SFC), Terengganu FC (TFC) dan KL City FC boleh mendaftarkan maksimum 12 pemain import berbanding 10 pemain sebelum ini.

Badan pengendali liga itu menerusi satu kenyataan memaklumkan penambahan kuota pemain import kepada 12 slot itu dibuat susulan keputusan terbaharu AFC yang memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had di dalam pertandingan kelab anjuran badan induk itu.

“Berdasarkan cadangan dikemukakan oleh JDT mengikut Perkara 3 Manual Liga Malaysia 2024- 2025 serta persetujuan bersama pemegang taruh MFL itu, pindaan terbaharu itu menyaksikan kelab-kelab Liga Super yang bertanding dalam Kejohanan Peringkat Kelab Anjuran AFC dan AFF dibenarkan mendaftar maksimum 12 pemain asing berbanding 10 sebelum ini.

“Penambahan kuota pemain asing ini memberi peluang kepada kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) yang layak ke pertandingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab AFF 2024/25 bersaing dalam kejohanan peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif.

“Dengan pindaan berkenaan, komposisi pemain dalam kelab-kelab terbabit adalah seramai 34 pemain membabitkan 22 pemain tempatan dan 12 pemain asing,” kata badan pengendali liga itu, semalam.

Bagaimanapun, MFL menegaskan kuota tambahan ini tidak akan menjejaskan peluang pemain tempatan untuk beraksi kerana memandangkan dua pemain asing tambahan ini hanya dibenarkan beraksi dalam pertandingan Piala MFL serta pendaftaran pemain asing dalam ‘team list’ pasukan Liga M 2024/25 masih kekal.

“Namun begitu, peraturan pendaftaran pemain asing dalam ‘team list’ bagi perlawanan di pertandingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Cabaran MFL 2024/2025 masih kekal iaitu tujuh (6+1).

“Manakala bagi proses naik dan turun pemain Piala MFL 2024/25, peraturan pendaftaran lima pemain tempatan (melebihi 23 tahun) dan maksimum tiga pemain asing dalam ‘team list’ (maksimum dua pemain dibenarkan beraksi di atas padang) masih kekal.

“Keputusan untuk mengekalkan kuota ini adalah bagi memastikan peluang pemain tempatan bawah 23 tahun beraksi dalam saingan Piala MFL,” kata MFL.

sumber:-BH

Sementara itu, tiada perubahan bagi pasukan yang tidak terbabit dalam pertandingan kelolaan AFC dan AFF di mana mereka hanya dibenarkan mendaftar maksimum sembilan pemain asing sahaja seperti peraturan sedia ada.