BERLIN: Polis Jerman menahan 59 penyokong kelab Perancis, Paris St Germain menjelang aksi Liga Juara-Juara di Stuttgart bagi mengelak kemungkinan rusuhan dengan penyokong tempatan, kata polis Stuttgart hari ini.
Kelab Jerman itu dijadual melayan kunjungan PSG awal pagi esok dengan kedua-dua pasukan sedang bersaing tempat ke perlawanan play off yang menjamin kemaraan ke pusingan 16 terbaik.
Polis berkata, mereka sudah dimaklumkan mengenai kemungkinan terdapat ‘pertempuran’ yang dirancang di Stuttgart dan penyokong Perancis itu ditahan pada Selasa.
Mereka akan kekal dalam tahanan sehingga esok, sehari selepas perlawanan bagi mengelak sebarang kekecohan.
“Melalui siasatan intensif dan kerjasama rapat dengan polis Paris, samseng Perancis itu ditemui di stesen kereta api utama dan di pelbagai hotel di Stuttgart,” kata polis bandar itu dalam satu kenyataan.
“Bagi mengelakkan rusuhan serius sehingga tamat perlawanan Liga Juara-Juara pada hari Rabu (awal pagi esok), samseng Paris ditahan sehingga pagi Khamis selepas perbincangan dengan hakim.”
Sejumlah 47 penyokong Stuttgart, yang dianggap berisiko tinggi, juga dihalang daripada memasuki pusat bandar berkenaan. – REUTERS