sukan

8 undang-undang baharu pada Piala Dunia Kelab

LONDON: Undang-undang baharu dan teknologi baharu – menjadikan Piala Dunia Kelab kelihatan berbeza daripada mana-mana kejohanan bola sepak sebelum ini.

FIFA memutuskan untuk melaksanakan semua pindaan undang-undang yang dipersetujui pada mesyuarat Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) di Belfast Februari lalu, khusus untuk kejohanan utama terbaharu mereka.

Ia termasuk peraturan “kiraan lima saat”, yang mana pengadil akan mengangkat tangan untuk memberi isyarat kepada penjaga gol supaya melepaskan bola atau jika tidak, sepakan sudut akan diberikan kepada pasukan lawan.

Dalam ujian langsung terkini pada Copa Libertadores dan Copa Sudamericana di Amerika Selatan, hanya dua insiden direkodkan yang mana penjaga gol memegang bola melebihi had lapan saat semasa bola dianggap “dalam kawalan”.

FIFA juga akan melaksanakan peraturan “kapten sahaja” dibenarkan bercakap dengan pengadil dan kad kuning akan diberikan kepada mana-mana pemain lain yang melanggar peraturan itu.

Peraturan yang digelar “peraturan Arteta” – bermaksud tiada hukuman tambahan selain sepakan percuma tidak langsung jika jurulatih atau pemain gantian menyentuh bola secara tidak sengaja sebelum ia keluar padang – juga akan digunakan buat kali pertama.

Begitu juga dengan peraturan penalti baharu, yang mana jika berlaku “sentuhan dua kali” – contohnya pemain tanpa sengaja menyepak bola mengenai kakinya sendiri – dan sepakan penalti itu menghasilkan gol, maka penalti itu akan diulang, bukannya dibatalkan.

Pemain Inter Milan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles untuk menyertai Piala Dunia Kelab FIFA 2025 di Los Angeles, California. – Foto AFP
Pemain Inter Milan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles untuk menyertai Piala Dunia Kelab FIFA 2025 di Los Angeles, California. – Foto AFP
Namun yang lebih mengejutkan adalah penggunaan teknologi canggih buat kali pertama dalam kejohanan kompetitif, ketika FIFA meneroka sempadan baharu.

Paling utama adalah penggunaan teknologi ofsaid semi-automatik berasaskan AI, yang mana isyarat akan dihantar secara automatik kepada penjaga garisan jika pemain melepasi garisan pertahanan dan lebih daripada empat inci ofsaid semasa memainkan bola.

Peminat ragbi sudah biasa dengan kamera pengadil (ref cam) yang dipasang di dada pengadil untuk menunjukkan pandangan dekat situasi di tengah padang.

Kini bola sepak akan mengikut jejak yang sama, dengan kamera dipasang pada paras mata pengadil bersambung dengan alat komunikasi VAR mereka.

Walaupun rakaman langsung tidak akan disiarkan semasa perlawanan berlangsung, ia akan digunakan untuk memberi peluang kepada penyokong – sama ada di rumah atau di stadium – untuk melihat gol atau insiden penting dari sudut pandangan pengadil.

Perbualan antara pengadil dan VAR masih hanya boleh disiarkan selepas perlawanan tamat, tetapi penyokong dalam stadium akan dapat melihat imej semakan monitor di tepi padang pada masa sama dengan pengadil.

Tiada lagi alasan untuk kesilapan ketika pertukaran pemain, apabila pasukan kejurulatihan akan diberikan tablet khas untuk memasukkan maklumat pertukaran secara terus – menggantikan sistem lama menggunakan nota tulisan tangan yang diserahkan kepada pegawai keempat. – AGENSI