sukan

Aaron Chia-Soh Wooi terlepas peluang keemasan

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi berputih mata apabila terlepas peluang bagi merangkul gelaran pertama dalam saingan Seluruh England, sebentar tadi.

Pasangan nombor lima dunia itu terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara apabila tewas di tangan juara bertahan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 16-21, 16-21 pada aksi final di Utilita Arena, Birmingham.

Aksi Aaron-Wooi Yik serba tidak menjadi sejak permulaan permainan apabila banyak melakukan kesilapan mudah sehingga membolehkan lawan mendahului sepanjang perlawanan dan memenangi set pertama.

Pasangan negara itu cuba untuk bangkit di set kedua dalam usaha mengheret permainan ke set penentuan dan usaha itu tampak hampir membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengikat kedudukan 10-10 tetapi Fajar-Rian kekal tenang untuk terus mendominasi permainan sehingga tamat sekali gus memastikan gelaran juara kekal milik mereka.

Susulan kekalahan itu, Aaron-Wooi Yik mengulangi pencapaian yang diraih mereka pada edisi 2019 apabila turut bergelar naib juara selepas tunduk kepada beregu berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan di pentas final.

Keputusan itu juga menyaksikan kemarau Malaysia selama 17 tahun bagi menjuarai acara beregu lelaki di Seluruh England berterusan dengan kali terakhir gandingan Koo Kiean Keat-Tan Boon Heong memenanginya pada edisi 2007.

Selaku juara, Fajar-Rian membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak

AS$96,200 (RM452,485) manakala Aaron-Wooi Yik meraih AS$45,500 (RM214,013).

Sementara itu, saingan perseorangan lelaki menyaksikan pemain Indonesia, Jonatan Christie merangkul gelaran sulung Seluruh England selepas mengetepikan rakan senegara, Anthony Sinisuka Ginting 21-15, 21-15 di pentas final.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain Sepanyol, Carolina Marin kembali muncul juara selepas sembilan tahun selepas lawannya dari Jepun, Akane Yamaguchi menarik diri di set kedua ketika ketinggalan 1-11.

Sebelum itu, Marin yang juga juara edisi 2015 menang 26-24 di set pertama.

Bagi saingan beregu wanita pula menyaksikan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee turut merangkul gelaran pertama selepas mengetepikan cabaran gandingan Jepun yang juga juara edisi 2022, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam pertarungan tiga set 21-19, 11-21, 21-17.

sumber:-BH

Beregu campuran nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong menepati ramalan apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu selepas menundukkan wakil Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-16, 21-11.

Ini adalah gelaran ketiga buat Si Wei-Ya Qiong di Seluruh England selepas turut muncul juara pada edisi 2019.