KUALA LUMPUR: Hanya tinggal beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih mengibar cabaran Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka Perancis selepas pasangan itu melangkah ke suku akhir, awal pagi tadi.
Aaron-Wooi Yik yang tampil sebagai pilihan kelima kejohanan tidak berdepan masalah untuk mengatasi beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-16, 21-18 pada pusingan kedua di Arena Porte de la Chapelle di Paris awal pagi tadi.
“Kami bermain dengan baik dalam perlawanan hari ini cuma set kedua ada sedikit hilang fokus tetapi kami berjaya mengatasinya sebelum memenangi perlawanan.
“Namun ada beberapa perkara yang kami perlu perbaiki sebelum perlawanan seterusnya,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Gandingan nombor lima dunia itu bagaimanapun perlu menampilkan aksi ‘kelas A’ mereka apabila dijadual bertemu juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada pertembungan suku akhir, petang ini.
Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik tewas dalam pertarungan tiga set di suku akhir Terbuka Malaysia, Januari lalu.
“Persekitaran di sini sangat baik (di Arena Porte de la Chapelle yang akan menjadi gelanggang rasmi Sukan Olimpik Paris 2024) dan diharapkan kami boleh kekalkan momentum dan memenangi perlawanan seterusnya,” kata Wooi Yik.
Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak berjaya mengikut jejak langkah Aaron-Wooi Yik selepas terkandas di pusingan kedua.
Mereka terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-13, 21-12.