KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengharungi satu perlawanan simulasi di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Perlawanan itu diadakan bagi memberi peluang kepada pasangan nombor lima dunia berkenaan menyerap suasana pertandingan sebelum beraksi di temasya di Paris yang yang membuka tirai dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Aaron-Wooi Yik turun menentang rakan sepasukan yang juga beregu lelaki nombor dua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dalam perlawanan itu.
Bagaimanapun, bekas juara dunia berkenaan tewas dalam pertarungan tiga set.
Meskipun tewas namun ia tidak mengundang keresahan kepada Bin Shen kerana mengaggap apa yang paling penting kedua-dua pemain tahu apa kelemahan yang perlu diperbaiki berbaki kira-kira tiga minggu sebelum Olimpik bermula.
“Mereka kalah pun dalam set penentuan 19-21, kedua-dua pasangan pun memang berlatih bersama setiap hari.
“Apa yang positifnya adalah selepas tamat perlawanan tadi, kami ada berbincang dan dapat idea baharu daripada Aaron-Wooi Yik untuk kami perbaiki apa yang kurang.
“Perlawanan simulasi ini adalah hasil maklum balas daripada Aaron-Wooi Yik sendiri yang mana kami berbincang sebelum ini apa yang kami boleh lakukan untuk persiapan ke Olimpik.
“Ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020, mereka bermain tanpa penonton kerana COVID-19, jadi kita cuba adakan perlawanan simulasi ini untuk mereka turut merasai suasana seperti beraksi dalam kejohanan kerana lebih kurang sebulan kita tiada kejohanan sebelum Olimpik,” kata Bin Shen ketika ditemui di ABM, hari ini.
Bagi menampakkan ‘mood’ sama seperti di Olimpik Paris, gelanggang di ABM dilengkapi papan iklan “A Board” di sekeliling dengan banting “Paris 2024” di belakang gelanggang, malah jurulatih duduk di tempat duduk di belakang gelanggang.
sumber:-BH
Perlawanan simulasi itu turut disaksikan ketua kontinjen negara ke Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya, Datuk Nicol David.