KUALA LUMPUR: Lagu Negaraku berkumandang megah di China selepas beregu negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing mencetak nama sebagai juara remaja dunia selepas menewaskan pasangan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi pada aksi final yang cukup menghiburkan di Nanchang, hari ini.
Diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, Aaron-Khai Xing jelas berdepan tugas cukup getir susulan sokongan padu ribuan peminat tuan rumah di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang.
Malah, pasangan negara itu memerlukan aksi tiga set sebelum merangkul kemenangan dalam perlawanan yang berlangsung selama sejam 5 minit itu.
Tampak sedikit gugup pada set pertama, Aaron-Khai Xing pada satu ketika turut ketinggalan 1-8 sebelum mencipta kebangkitan menakjubkan untuk menang 21-18.
Pada set kedua, permainan lebih kemas ditunjukkan pasangan China yang diletakkan pilihan kedua yang berjaya mencatat kemenangan 21-15.
Tekanan kian memuncak buat pasangan negara pada set ketiga apabila pada satu ketika ketinggalan 2-8 susulan beberapa siri kesilapan tidak sepatutnya.
Begitupun hasil semangat juang tinggi yang ditampilkan, Aaron-Khai Xing meraih kemenangan 21-18 pada set ketiga sekali gus menamatkan penantian negara untuk memiliki juara remaja yang kali terakhir diraih pada 2018 menerusi Goh Jin Wei.
Selain itu, kemenangan turut membalas kekalahan Aaron-Khai Xing kepada Ke Yuan-Xiang Yi pada aksi final Kejohanan Remaja Asia di Indonesia pada Julai lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memiliki juara dunia remaja dalam acara beregu lelaki adalah pada 2011 menerusi gandingan Nelson Heg-Teo Ee Yi.
sumber:-BH
Sejak dipertandingkan pada 1992, acara beregu lelaki memang menjadi ‘lubuk’ buat skuad remaja negara dengan tujuh juara pernah dilahirkan bermula dengan gandingan Jeremy Gan-Chan Chong Ming pada edisi 1996.