KUALA LUMPUR: Beregu lelaki remaja utama negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing mengetuai kemaraan pemain Malaysia ke pusingan empat Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 di Nanchang, China, hari ini.
Diletakkan pilihan utama, Aaron-Khai Xing tidak bermasalah untuk mengalahkan lawan dari India, Bhavya Chhabra-Param Choudhary dalam perlawanan straight set 21-14,21-16 yang berlangsung selama 26 minit.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang itu, turut mara adalah pemain perseorangan lelaki negara, Muhammad Faiq Haziq.
Begitupun, Faiq yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan kejohanan perlu bekerja keras sebelum menyingkirkan pemain Amerika Syarikat, Garret Tan dengan perlawanan tiga set 19-21,21-8,22-20.
Dalam acara perseorangan wanita, dua pemain negara berjaya mara ke peringkat seterusnya menerusi Ong Xin Yee dan Lim Zhi Shin.
Apa yang menarik, Xin Yee berjaya menyingkirkan pilihan kelima kejohanan dari Thailand, Anyapat Phichipreechasak dalam aksi straight set 21-16,21-16 dengan Zhi Shin pula mara selepas menewaskan pemain Jerman, Gloria Poluektov, juga dengan keputusan straight set, 21-8,21-13.
Sementara itu, daripada tiga beregu campuran negara yang beraksi hari ini, hanya pasangan Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea Zaidi berjaya melangkah ke pusingan keempat.
Datu Anif-Dania mara selepas menyingkirkan pasangan Singapura, Nicholas Kat-Zheng Yan Li dengan keputusan straight set 24-22,21-16.
Dalam acara beregu wanita, pasangan Zi Yu Low-Dania mencipta kejutan selepas menewaskan pilihan kesembilan dari Thailand, Phattharin Aimvareesrisakul-Napapakorn Tungkasatan dengan keputusan 21-17,24-22.
Turut mara adalah satu lagi pasangan beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang diletak pilihan keenam dengan menewaskan pasangan Taiwan, Chou Yun An-Ke Xin Huang 21-17,21-9.
sumber:-BH
Sementara itu, tugas berat bakal menanti Faiq yang turut beraksi dalam acara beregu lelaki apabila dia dan pasangannya, Lok Hong Quan mara ke pusingan empat selepas menewaskan beregu Amerika Syarikat, Youshi Chen-Tian Qi Zhang 21-4,21-15.