sukan

Aaron-Wooi Yik boleh tarik nafas lega di Paris

KUALA LUMPUR: Barisan pemain Malaysia hadir ke Kejohanan Dunia di Paris yang akan membuka tirainya minggu depan dengan keyakinan lebih tinggi dalam acara beregu lelaki apabila sandaran bukan hanya diletakkan kepada pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sebaliknya turut diperkuat kehadiran tiga beregu utama lain yang semakin matang.

Dengan persiapan rapi serta pilihan beregu lebih luas, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata Malaysia dilihat memiliki prospek lebih cerah untuk sekurang-kurangnya membawa pulang pingat dari Paris.

Menurut Rexy, skuad beregu yang dibarisi pemain pilihan kali ini dianggap antara yang terkuat pernah dihantar oleh kontinjen Malaysia ke kejohanan berprestij itu.

“Kita ada empat beregu lelaki, tiga daripadanya dari BAM serta satu lagi pasangan profesional (Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani).

“Kesemuanya ada peluang mencabar kejuaraan, jadi perkara itu setidak-tidaknya mengurangkan sedikit tekanan buat Aaron-Wooi Yik.

“Kita tidak mahu hanya berbisik kepada Aaron-Wooi Yik atau pasangan tertentu, ‘awak mesti menang’. Semua pemain sudah menjalani latihan sukar, kini masanya mereka turun bermain dengan yakin,” tegasnya.

Begitupun, beliau menegaska pihak kejurulatihan tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan ke atas pemain kerana bimbang ia akan memberi kesan negatif terhadap prestasi mereka.

“Kita tidak mahu beri tekanan kepada barisan pemain. Sebaliknya biarkan mereka enjoy, kerana inilah masanya mereka menikmati permainan.

“Mereka sudah pun melalui masa sukar dalam latihan, semua merasa tekanan jadi inilah masanya mereka keluarkan dan enjoy,” katanya ketika ditemui semalam.

Selain beregu lelaki, pasangan wanita Pearly Tan-M Thinaah serta gandingan campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut menunjukkan peningkatan prestasi konsisten, sekali gus menambah prospek pingat buat Malaysia.

Untuk rekod, pada edisi kali ini yang dijadual berlangsung di Paris, Perancis, dari 25 hingga 31 Ogos ini, Malaysia mempunyai empat wakil dalam acara beregu lelaki iaitu Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.