KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia menegaskan kekalahan pada final Terbuka Artik di Vantaa, Finland, semalam tidak sedikit pun menggugat motivasinya menjelang Terbuka Denmark yang membuka tirai esok.
Sebaliknya, Aaron bersama gandingannya Soh Wooi Yik mahu menjadikan pengalaman itu sebagai medan kebangkitan pada kejohanan berstatus Jelajah Super 750 BWF yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$950,000 (RM4.1 juta).
Pasangan nombor dua dunia itu terpaksa akur selepas tumpas dalam pertarungan sengit selama 76 minit kepada gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy 18-21, 27-25, 17-21 di Vantaa.
Kekalahan itu sekali gus menafikan peluang Malaysia meraih kejuaraan berganda selepas Pearly Tan-M Thinaah menjuarai beregu wanita.
“Syukur. Terus melangkah dan bangkit semula. Saya amat menghargai kerja keras daripada pasangan saya, Soh Wooi Yik.
“Terima kasih juga kepada jurulatih, Herry Iman Pierngadi, Muhammad Miftah serta staf Institut Sukan Negara,” kata Aaron menerusi media sosial.
Kekalahan itu juga menafikan peluang mereka meraih gelaran ketiga Jelajah Dunia BWF tahun ini, selepas kejayaan pada Terbuka Thailand dan Singapura.
Beregu utama negara itu berdepan pasangan eksperimen Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat pada pusingan pertama Terbuka Denmark bermula esok.