BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik meneruskan rentak kemenangan konsisten apabila mara ke separuh akhir Terbuka Artik Super 500 selepas menewaskan gandingan Taiwan, Liu Kuan Heng–Yang Po Han di Energia Areena, Vantaa, Finland.
Pasangan pilihan pertama kejohanan itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras hampir 63 minit sebelum menamatkan saingan dalam pertarungan sengit tiga set.
Tampil agresif set pertama beregu nombor dua dunia itu diberikan tentangan hebat sebelum menang 21-19.
Namun Kuan Heng–Po Han menampilkan permainan matang kembali mengikat permainan dengan unggul 21-19 di set kedua.
Set ketiga, kedua-dua beregu meningkatkan intensiti permainan menyaksikan Kuan Heng–Po Han kembali mengejar Aaron-Wooi Yik sebelum wakil negara itu menutup perlawanan dengan 21–17.
Kemenangan tersebut bukan sahaja memastikan kempen Malaysia dalam acara beregu lelaki kekal di landasan tepat, malah mengukuhkan rekod pertemuan Aaron–Wooi Yik kepada 3–0 ke atas pasangan Taiwan itu.
Juara dunia 2022 tersebut sebelum itu turut diuji hebat dalam pusingan kedua apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menumpaskan rakan senegara dan bekas rakan sepelatih, Low Hang Yee–Ng Eng Cheong, 15–21, 21–14, 21–14, dalam pertembungan pertama mereka di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Aaron–Wooi Yik kini semakin hampir memburu gelaran keempat musim ini selepas kejayaan di Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
Mereka selepas ini bakal berdepan satu lagi cabaran getir pada separuh akhir menentang gandingan Thailand, Kittinupong Kedren–Dechapol Puavaranukroh, yang juga sedang menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan selepas menghantar pulang beregu nombor lima dunia dari China, Liang Wei Keng-Weng Chang, 19-21, 21-14, 21-19.