sukan

Aaron–Wooi Yik perlu elak terperangkap di pusingan awal

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu mengambil pendekatan lebih berwaspada dalam setiap pertemuan agar tidak termasuk dalam perangkap lawan mereka di Kejohanan Dunia yang akan membuka tirai pada 25 Ogos nanti.

Bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong berkata, jika melihat kepada laluan undian wakil negara itu, ia agak mudah tetapi itu bukan bermakna mereka perlu memandang ringan cabaran yang bakal dihadapi nanti.

Katanya, berdasarkan rekod sebelum ini, sekiranya beregu negara bertemu pasangan yang kuat, secara tidak langsung corak permainan yang ditampilkan juga begitu meyakinkan, sekali gus mencatat kemenangan dalam perlawanan itu.

“Kalau dapat undian senang, fokus pemain selalu jatuh. Jadi saya harap mereka jangan leka sebab kesilapan kecil boleh menghukum.

“Apabila bertemu lawan kuat kita lebih bersedia, tetapi kalau rasa mudah, pemain mudah buat kesilapan. Jadi undian bagus macam ini sebenarnya sangat jarang dan wajib dimanfaatkan,” katanya.

Bekas juara dunia 2022 itu mendapat ‘bye’ di pusingan pertama dan dijangka bertemu rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King pada pusingan ketiga.

Namun, kemampuan sebenar mereka akan teruji bermula di suku akhir dengan kemungkinan berdepan pilihan China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau beregu utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Tetapi, bekas pemain beregu nombor satu dunia itu yakin Aaron-Wooi Yik mampu melakar kemenangan ke atas lawan kerana prestasi mereka ketika ini sedang berada di landasan tepat.

Selain itu, dalam pertemuan di beberapa kejohanan tahun ini, beregu nombor dua dunia itu menang semua perlawanan menentang kedua-dua pasangan berkenaan.

“Kalau kejohanan utama mereka (Aaron-Wooi Yik) biasanya lebih berkeyakinan tinggi. Kita masih tidak pasti bagaimana keadaan mereka dan penonton pun berharap mereka dapat keputusan yang baik.

“Apabila beraksi di pusingan pertama dan kedua, ia sangat penting. Kalau dapat melepasi dua pusingan ini mereka mampu pergi lebih jauh,” katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik di kejohanan itu adalah muncul juara di Tokyo 2022 dan separuh akhir di Copenhagen 2023.