sukan

Aaron-Wooi Yik sandaran utama raih pingat emas Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka menjadi sandaran utama ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini sekiranya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan sasaran memburu pingat emas.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan, keputusan akhir senarai pemain hanya akan dimuktamadkan selepas mesyuarat bersama BAM, namun pilihan jelas bergantung kepada hala tuju badan induk itu sama ada mengejar emas atau memberi pendedahan kepada beregu pelapis.

“Untuk Sukan SEA, keputusan akhir akan dimaklumkan oleh jurulatih Rexy (Mainaky) selepas mesyuarat. Setakat ini, empat pasangan sudah kita masukkan nama dan finalnya dijangka minggu depan atau bulan depan.

“Kalau sasaran emas, sudah tentu kita hantar pasangan terbaik. Kalau mahu beri peluang kepada yang muda, maka beregu pelapis jadi pilihan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

Selain Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking nombor dua dunia, tiga lagi beregu yang disenaraikan ialah Man Wei Chong-Tee Kai Wun (kelapan dunia), Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King (ke-20 dunia) dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri (ke-45 dunia).

Sebelum ini, Aaron pernah menyuarakan pandangan bahawa beregu muda seperti Arif-Roy King dan Hon Jian-Haikal wajar diberi peluang beraksi di pentas Sukan SEA.

Namun, Herry menegaskan pengalaman dan pencapaian konsisten Aaron-Wooi Yik menjadi aset negara sekiranya Malaysia serius mahu mengulangi kejayaan meraih emas.

“Mereka (Aaron-Wooi Yik) konsisten berada dalam kelompok tiga terbaik dunia. Jadi kalau sasaran emas, secara semula jadi mereka pilihan utama. Tapi kalau matlamatnya pembangunan, perbincangannya berbeza,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Herry berkata semua pasangan yang disenaraikan sentiasa bersedia untuk beraksi dan terpulang kepada BAM menetapkan sasaran yang diinginkan.

“Pemain sentiasa bersedia. Bergantung sepenuhnya kepada BAM untuk tentukan sasaran,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia meraih emas beregu lelaki di Sukan SEA adalah pada edisi 2019 di Filipina menerusi gandingan Aaron-Wooi Yik.