Kuala Lumpur: Juara dunia 2022, Aaron Chia–Soh Wooi Yik menegaskan mereka tidak kisah ‘dihenyak’ dengan jadual padat demi memastikan prestasi sentiasa berada di tahap tertinggi.
Bagi Aaron, meskipun sedar memerlukan kecergasan tinggi termasuk berdepan risiko kecederaan, dia melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif untuk meningkatkan tahap permainan mereka di dalam gelanggang.
Katanya, perkara itu juga dapat memastikan momentum mereka sentiasa terjaga dan membuka peluang untuk mencipta lebih banyak kejayaan.
“Ya, bagi saya sendiri, saya memang suka bermain dalam kejohanan. Walaupun sekarang saya sudah berusia 28 tahun dan tahun depan 29, saya tetap akan sesuaikan jadual kejohanan.
“Saya perlu sertai banyak kejohanan untuk kekalkan ‘feel’ atau sentuhan saya di gelanggang. Sebab itu saya rasa penting untuk terus bermain.
“Bagi saya, bermain banyak kejohanan tidak mengapa. Bukan bermaksud saya tak mahu menang, tetapi bagi saya, menang atau kalah itu perkara kedua.
“Yang penting, bermain dalam kejohanan memberikan saya pengalaman dan rentak permainan sebenar,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, tadi.
Namun begitu, pemain kelahiran Melaka itu tetap akan memastikan tahap mental serta fizikal sentiasa berada di tahap terbaik agar impian beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) tidak terjejas.
“Kita harap tahun ini dan tahun depan boleh bermain lebih banyak untuk kutip mata dan biasakan ‘feeling’ dan bermula 2027 kita akan susun serta memilih pertandingan yang akan disertai kerana waktu itu kelayakan LA28 sudah bermula,” katanya.
Sebelum ini, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyuarakan keyakinan terhadap beregu nombor dua dunia itu bahawa mereka mampu bangkit kembali biarpun prestasi sedikit menurun dalam beberpa kejohanan terakhir.