sukan

ACC Shopee Cup: Xuan Son tekad cipta kejutan keatas Selangor

Penyerang Nam Dinh FC, Nguyen Xuan Son bersedia untuk kembali menemui sentuhan penyudah terbaiknya ketika kelab Vietnam itu berusaha menterbalikkan defisit satu gol dalam aksi separuh akhir kedua Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup menentang Selangor FC di Stadium Thien Truong esok.

Xuan Son, pemain kelahiran Brazil yang kini mewakili Vietnam di peringkat antarabangsa, kelihatan kecewa selepas kekalahan 1-2 dalam aksi pertama di Selangor minggu lalu, namun dia kini bersedia untuk menebus kehampaan itu sambil berusaha menambah koleksi tujuh golnya dalam kejohanan kelab serantau itu.

“Kami mahu menang esok kerana kami mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada penyokong dan juga kelab.

“Bagi kami, perlawanan ini terasa seperti final dan bukannya separuh akhir. Saya sangat teruja. Persiapan berjalan dengan sangat baik dan saya rasa semua pemain sudah bersedia. Sokongan daripada penyokong kami amat penting.

“Esok kami mahu menunjukkan kualiti kelab ini dan barisan kejurulatihan juga telah membuat persiapan yang sangat baik. Saya sangat teruja dan berharap dapat menjaringkan gol esok,” katanya.

Dalam tiga perlawanan di laman sendiri pada peringkat kumpulan, Nam Dịnh tidak pernah tewas apabila mencatat dua kemenangan serta seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim FC, satu lagi kelab Malaysia yang turut akan bertandang menentang juara bertahan, Buriram United FC, sambil cuba bangkit daripada kekalahan 1-3 dalam aksi pertama.

Xuan Son, yang kembali beraksi beberapa bulan lalu selepas pulih daripada kecederaan serius di bahagian kaki, percaya kelebihan beraksi di laman sendiri akan memberi manfaat besar kepada pasukannya.

“Saya rasa keadaan di Malaysia agak sukar kerana hujan lebat, jadi ia sedikit menjejaskan permainan. Esok kami bermain di tempat sendiri, di mana kami berasa sangat selesa. Segala-galanya telah disediakan untuk kami bermain dengan baik,” katanya.

Ketua jurulatih Nam Định, Vu Hong Viet pula meluangkan masa di sesi latihan untuk memperkemas jentera serangan pasukannya, namun beliau sedar betapa pentingnya mengekalkan fokus ketika menentang Selangor yang mampu mencipta ancaman menerusi wira dua gol minggu lalu, Chrigor Moraes serta kapten Faisal Halim.

“Dalam perlawanan pertama, kami mempunyai dua masalah utama. Pertama ialah ketumpulan penyudah di depan gol dan kedua ialah tahap fokus kami yang membolehkan Selangor menjaringkan gol. Saya percaya pemain saya akan menunjukkan penyudah yang lebih baik di hadapan gol.

“Perbezaan satu gol masih menjadi jurang yang sangat kecil. Kami akan memberikan segala-galanya untuk menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol dan mara ke final,” kata Hong Viet.

Pertahanan Selangor, Safuwan Baharudin pula bersedia menghadapi tekanan hebat di gelanggang Nam Định, di mana dia dijangka sekali lagi bergandingan bersama Mamadou Diarra di benteng pertahanan tengah selepas berjaya mengekang ancaman Xuan Son minggu lalu.

“Kami tahu betapa berbahayanya mereka. Saya sudah beberapa kali berdepan Xuan Son sebelum ini dan saya rasa dia antara penyerang terbaik yang pernah saya hadapi. Kejohanan ini adalah pentas terbesar di rantau ini dan kedua-dua pasukan berada di sini untuk mempamerkan kualiti masing-masing. Dalam bola sepak, mana-mana pasukan boleh merebut peluang,” kata Safuwan yang juga pemain antarabangsa Singapura.

Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-Gon pula sedar bahawa cara terbaik untuk bertahan adalah dengan terus menyerang ketika jurulatih dari Korea Selatan itu cuba sekali lagi mengatasi percaturan Hong Viet.

Beliau akan mengharapkan Chrigor dan Faisal untuk terus memberi tekanan sebaik wisel permulaan ditiupkan.