Selangor FC bakal membuka tirai saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) peringkat Kumpulan G dengan pertemuan berprestij menentang naib juara Liga Thailand musim lalu, Bangkok United, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang ini.
Perlawanan yang dijadualkan bermula jam 6.00 petang ini bukan sekadar aksi pembukaan, tetapi menjadi medan penentu awal buat The Red Giants dalam misi menakluk pentas Asia Tenggara. Selangor diundi dalam kumpulan yang cukup kompetitif bersama Lion City Sailors dari Singapura, Persib Bandung dari Indonesia dan Bangkok United.
Kumpulan G dianggap sebagai antara kumpulan paling seimbang dalam ACL2 musim ini, dengan keempat-empat pasukan memiliki sejarah dan reputasi tersendiri. Bangkok United hadir sebagai pasukan yang konsisten di Liga Thailand dan memiliki barisan pemain import berkualiti dari Serbia, Brazil dan Jepun.
Selangor pula tampil dengan semangat baharu di bawah kendalian jurulatih Jepun Katsuhito Kinoshi, yang menekankan falsafah bola sepak moden dan disiplin taktikal tinggi. Dengan barisan pemain muda berbakat seperti Arif Aiman, Sharul Nazeem, dan Kipre Junior, Gergasi Merah dilihat mampu memberi saingan sengit.
“Kami mahu menikmati sebanyak mungkin perlawanan di peringkat Asia. Tanpa mengira siapa pun lawan kami, apa yang penting kami perlu pamerkan DNA bola sepak kami,” kata Kinoshi dalam sidang media praperlawanan.
Selangor hadir ke pentas ACL2 dengan momentum positif selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Buriram United dalam Shopee Cup bulan lalu, serta kemenangan bergaya ke atas Malaysia University (MUFT) dalam saingan Piala FA.
Pertahanan warisan Thailand, Kevin Deeromram, turut melaungkan keyakinan menjelang pertemuan ini.
“Kalau kami mampu seri dengan Buriram di tempat lawan maka kami juga mampu menang di tempat sendiri,” ujar Kevin.
Dengan sokongan padu penyokong di MBPJ dan semangat juang tinggi dalam kalangan pemain, Selangor kini bersedia untuk mencipta sejarah baharu di pentas Asia.
Peminat bola sepak tanah air boleh menyaksikan perlawanan ini secara langsung melalui saluran Astro Arena Bola (803) bermula jam 6.00 petang. Perlawanan juga boleh distrim menerusi Astro Go dan Sooka, dengan liputan terkini tersedia di Stadium Astro.
Perlawanan ini dijangka menjadi tumpuan utama peminat bola sepak Asia Tenggara, dengan ribuan penyokong dijangka membanjiri MBPJ untuk menyaksikan aksi pembukaan yang penuh dramatik.