Selangor FC memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim ini dengan langkah kiri apabila dikejutkan oleh wakil Thailand, Bangkok United, yang mencatat kemenangan bergaya 4-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Kekalahan ini bukan sahaja mengejutkan penyokong Gergasi Merah yang hadir memenuhi stadium, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam kepada penyerang utama pasukan, Chrigor Moraes, yang jelas kecewa dengan keputusan yang tidak dijangka.
“Ini adalah normal, banyak yang perlu kami pelajari daripada perlawanan ini,” kata Moraes yang kelihatan sugul selepas tamat perlawanan.
Selangor bermula dengan baik, namun segalanya berubah apabila Harith Haiqal Adam Afkar dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama, menyebabkan pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain. Bangkok United mengambil kesempatan dengan dua gol pantas dalam tempoh 10 minit, sekali gus merobek struktur pertahanan Selangor.
Walaupun Moraes cuba merapatkan jurang dengan beberapa gerakan berbahaya, sentuhannya kali ini tidak cukup tajam untuk menewaskan penjaga gol lawan. Ketiadaan pemain tambahan dan tekanan mental jelas menjejaskan rentak permainan Selangor.
“Bola sepak ini gila. Dalam masa 10 minit kami dibolosi dengan dua gol. Ia sangat sukar,” luah Moraes yang sebelum ini mencatat hatrik dalam aksi Liga Super.
Jurulatih Katsuhito Kinoshi kini berdepan cabaran besar untuk memulihkan semangat pasukan yang akan beraksi dua kali dalam tempoh enam hari—menentang Kuching City pada Ahad dan Tampines Rovers dalam Shopee Cup ACC pada Rabu depan.
Moraes mengakui jadual padat turut memberi kesan kepada prestasi fizikal dan mental pemain.
“Kami juga bermain banyak perlawanan minggu ini. Jadi, kami memerlukan perubahan drastik,” katanya.
Kinoshi dijangka melakukan rombakan taktikal dan memberi peluang kepada pemain simpanan untuk mengimbangi beban fizikal, sambil menekankan kepentingan disiplin dan fokus dalam setiap perlawanan.
Walaupun tewas, Moraes tetap optimis bahawa pasukan mampu bangkit dan memperbaiki kelemahan yang terdedah dalam perlawanan menentang Bangkok United. Dengan sokongan padu penyokong dan semangat juang yang tinggi, Selangor masih memiliki peluang untuk melakar kebangkitan dalam saingan ACL2 dan ACC.
“Banyak yang harus dipelajari supaya perkara ini tidak berulang kembali,” tegas Moraes yang kini telah menjaringkan sembilan gol musim ini.