Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, menegaskan bahawa pasukannya tidak akan gentar berdepan kelab elit Thailand, Bangkok United, dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) yang bakal berlangsung di Stadium MBPJ petang esok.
Dengan semangat tinggi dan falsafah bola sepak yang jelas, Kinoshi mahu anak buahnya tampil dengan keyakinan dan disiplin taktikal, sambil menuntut setiap pemain—termasuk yang berada di bangku simpanan—agar sentiasa bersedia untuk diturunkan walaupun hanya untuk satu minit permainan.
“Sebagai pemain profesional, mereka harus berikan 100 peratus dan bersedia untuk detik ini. Semua pemain memahami kehendak ini,” kata Kinoshi dalam sidang media praperlawanan.
Kinoshi menekankan bahawa Selangor tidak akan terlalu memikirkan kekuatan lawan, sebaliknya akan menumpukan kepada corak permainan dan DNA bola sepak mereka sendiri. Beliau percaya bahawa pendekatan ini akan memberi kelebihan kepada Gergasi Merah, terutamanya apabila beraksi di laman sendiri.
“Tanpa mengira siapa pun lawan kami, apa yang penting kami perlu pamerkan DNA bola sepak kami,” tegas jurulatih kelahiran Jepun itu.
Bangkok United hadir dengan reputasi sebagai pasukan yang seimbang, dibarisi pemain import dari Serbia, Brazil dan Jepun. Mereka juga baru sahaja menewaskan Chonburi FC dalam saingan domestik, membuktikan mentaliti kemenangan yang dimiliki.
Namun, Kinoshi percaya keputusan seri 1-1 menentang Buriram United dalam Shopee Cup bulan lalu menjadi bukti bahawa Selangor mampu bersaing dengan kelab elit Thailand.
Aksi yang dijadualkan bermula jam 6 petang turut menimbulkan persoalan tentang kesan cuaca panas di Lembah Klang. Namun, Kinoshi tidak melihatnya sebagai satu masalah besar, malah menegaskan bahawa kedua-dua pasukan akan berdepan situasi yang sama.
“Saya tidak bimbang dengan sepak mula pukul 6 petang. Kami tidak perlu fikir kepada kelebihan di tempat sendiri kerana ia juga boleh memakan diri,” katanya.
Selangor dijadualkan mengharungi tujuh perlawanan sepanjang bulan ini, termasuk saingan domestik dan ACL2. Kinoshi membandingkan jadual padat itu dengan kelab gergasi Eropah seperti Liverpool dan Manchester City, sambil menekankan bahawa setiap perlawanan adalah penting.
Pertahanan warisan Thailand, Kevin Deeromram, turut menyuarakan keyakinan menjelang pertemuan ini. Beliau percaya bahawa pengalaman menentang Buriram menjadi pemangkin semangat untuk mencipta kemenangan di MBPJ.
“Kalau kami mampu seri dengan Buriram di tempat lawan maka kami juga mampu menang di tempat sendiri,” ujar Kevin yang mengenali beberapa pemain Bangkok United secara peribadi.
Dengan semangat juang yang tinggi dan sokongan padu penyokong tempatan, Selangor kini bersedia untuk membuka kempen ACL2 dengan penuh bergaya.