JEDDAH – Kelab gergasi Arab Saudi, Al Ahli melakar sejarah baharu apabila menjuarai trofi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) buat kali pertama dengan menewaskan Kawasaki Frontale di pentas final awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium King Abdullah itu, skuad Al-Malaki Al-Malaki tidak mempunyai masalah untuk menewaskan wakil Jepun hasil penyudah Galeno dan Franck Kessie di hadapan lebih 58,000 penyokong setia.
Ketua jurulatih Al Ahli, Matthias Jaissle mengakui gembira kejayaan bergelar kelab terbaik Asia cukup manis dan bakal dikenang untuk tempoh yang lama terutama apabila pasukan telah disingkirkan daripada Liga Pro Arab Saudi, tiga tahun lalu.
“Saya rasa ini adalah perjalanan yang luar biasa kerana pada 2022, kita tidak beraksi di divisyen utama saingan domestik tetapi sokongan yang diberikan oleh pihak pengurusan dan peminat setia telah membawa kita ke tahap ini.
“Pujian juga wajar diberikan kepada skuad Kawasaki yang memberikan tentangan cukup sengit tetapi barisan pemain saya mengikut arahan taktikal yang ditetapkan untuk menyerap tekanan pasukan lawan,” katanya.
Sementara itu, penyerang sensasi Al Ahli, Roberto Firmino puas dapat mendakap trofi bola sepak paling berprestij Asia itu terutama apabila pasukan hanya mampu bergelar naib juara pada edisi 1985/86 dan 2012.
“Saya bangga dengan pasukan kerana pada awalnya, kita bukanlah pilihan utama untuk menang. Namun, kita bekerja keras dan ini adalah trofi yang istimewa kerana kelab tidak pernah menang sebelum ini,” katanya. – AGENSI