Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim, Xisco Munoz teruja dengan komitmen pemainnya selepas meraih tiga mata hasil kemenangan ke atas Chengdu Rongcheng FC 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, semalam.
Jelas pengendali dari Sepanyol itu, barisan pemain yang diturunkan jelas berdepan kesukaran skuad kendalian Seo Jung-won malah kondisi padang yang kurang berkualiti menjejaskan rentak permainan skuad Harimau Selatan.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua pemain yang bermain dengan sepenuh jiwa untuk memastikan kemenangan kerana kita belum meraih sebarang kemenangan dalam dua aksi lalu,” kata Munoz.
Dalam perlawanan itu, rentak kemenangan JDT bermula dengan jaringan Oscar Arribas seawal minit kelima dan disusuli jaringan Nacho Mendez pada minit ke-62 bagi memastikan tiga mata untuk melonjak ke tangga saingan Zon Timur apabila mengumpul empat mata.
Sementara itu pemain terbaik perlawanan, Arif Aiman Hanapi, mengakui terpaksa berdepan keadaan padang yang teruk menyebabkan ia menjadi perlawanan sukar buat JDT kerana perlu menyesuaikan diri dengan padang yang licin.
“Kami ketepikan masalah yang dihadapi untuk memberi sepenuh tumpuan dalam perlawanan kerana misi utama adalah memburu kemenangan pertama salam saingan ACLE.
“Aksi seterusnya akan menentang satu lagi kelab dari China, Shanghai Shenhua, di gelanggang sendiri, 5 November ini dan kami akan terus fokus bagi mengekalkan momentum kemenangan,” ujar Arif Aiman.