Pengendali Port FC, Bozidar Bandovic tampak enggan memikirkan kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebaliknya lebih mengutamakan untuk memperkemaskan barisan pemainnya apabila beraksi dalam saingan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok.
Bandonic berkata, selepas beraksi di pentas Liga 1 Thailand dengan kemenangan 4-1 ke atas Rayong FC, kini beralih untuk memberi tumpuan pada saingan ACLE yang lebih kompetitif dan mencabar apabila menentang pasukan terbaik di Malaysia iaitu JDT.
“Untuk aksi menentang JDT, kami kehilangan dua pemain iaitu Kaka Mendes dan Matheus Lins namun situasi itu tidak menjejaskan persiapan kerana saya akan lakukan rotasi pemain dan akan memilh pemain terbaik yang akan diturunkan nanti.
“Tidak dinafikan, kami terpaksa menempuh jadual yang padat dalam saingan liga Thai malah membabitkan perjalanan yang agak jauh sejak sebulan lalu di tambah pula akan berdepan pemain JDT yang memiliki skil individu dan struktur barisan yang mantap.
“Untuk menentang JDT, apa yang mahu mereka lakukan adalah memberi segala-galanya bermula minit pertama hingga minit terakhir dan ini adalah tahun pertama kami beraksi di kancah ACLE dan mahu memanfaatkannya sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan Port FC, Manuel Bihr menyifatkan pemain perlu diawasi pada perlawanan itu adalah Bergson da Silva yang boleh memberi ancaman kepada benteng tatkala mampu memporak-peranda benteng jika tidak disekat.
“Mungkin individu yang paling terkenal ialah Bergson. Malah, dia juga adalah pemain Malaysia. JDT berada di tangga teratas sainga Liga Super Malaysia dan menjaringkan 28 gol dan ini menunjukkan dari aspek serangan mereka cukup tajam,” ujar Bihr.