KUALA LUMPUR: Jika anda seorang pemilik pasukan Liga Malaysia (Liga M), berapakah modal yang ‘berani’ anda laburkan kepada pasukan dalam misi menyekat dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kancah bola sepak tempatan?
Jika sekadar RM10 juta ataupun RM20 juta semusim, anda boleh melupakan impian terbabit dan terus berada di belakang skuad Harimau Selatan kerana amaun itu tidak cukup untuk ‘menggegar’ JDT di puncak kancah domestik.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim menegaskan pasukan yang bercita-cita untuk menjadi ‘pencabar tulen’ kepada JDT memerlukan sekurang-kurangnya RM50 juta dalam tangan setiap musim bagi membantu mereka membentuk skuad yang betul-betul mantap.
Zakaria menjelaskan, pembentukan pasukan yang mantap bukan sahaja mengenai pemilihan pemain dan juga strategi yang diatur malah ia turut membabitkan persediaan pasukan untuk turun ‘berperang’ menerusi pembinaan infrastruktur dan fasiliti yang berkualiti.
“Kalau ada RM20 juta, itu hanyalah untuk pembayaran gaji, kos pergerakan untuk beraksi di tempat lawan, makan dan minum, penginapan dan juga kos latihan. Ini tidak termasuk kos pusat latihan, infrastruktur, fasiliti dan sebagainya.
“Kita tengok JDT memakan masa bertahun-tahun untuk membina pusat latihan mereka dan juga Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Bukan JDT baru muncul tetapi stadium itu sudah ada. Pada pandangan saya, RM20 juta semusim itu adalah jumlah yang minimum.
“Kalau nak bersaing dengan JDT, lebih daripada RM20 juta dan kalau betul nak berada di atas JDT, (bajet) RM50 juta dan pasukan kena konsisten untuk ada kewangan sebanyak itu pada setiap musim,” kata Zakaria.
Zakaria berkata demikian ketika temu bual dalam Podcast Borak Harini yang dikendalikan moderator, Asrizal Aris dan disiarkan di laman YouTube Berita Harian Online, semalam.
Dalam perkembangan sama, Zakaria turut melihat badan pengendali liga iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu memainkan peranan proaktif dalam membantu meringankan beban kewangan pasukan yang bertanding menggunakan pengagihan kewangan menerusi pencarian penaja lebih ‘kencang’.
“Selagi (MFL) tak buat benda itu, kelab takkan dapat saingi JDT dan selagi JDT mampu menghasilkan pendapatan. JDT pun senasib dengan pasukan lain di mana mereka pun dapat agihan kewangan yang agak setara dengan pasukan lain.
sumber:- BH
“Mereka pun tidaklah mendapat ‘sponsor’ yang besar sekali gus, misal kata terus dapat RM50 juta tetapi mereka ada sumber yang lain dan mereka ada sumber kewangan yang kukuh,” katanya.