KUALA LUMPUR: Langkah beberapa pemain warisan yang terpalit isu dokumentasi untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya dianggap sukar sekiranya rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas ini juga tidak memihak kepada mereka.
Ia susulan peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli dalam laporan BH Sukan, semalam memaklumkan tujuh pemain berkenaan iaitu Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Imanol Machuca masih tidak boleh mewakili negara walaupun selepas penggantungan 12 bulan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau menegaskan tujuh pemain itu masih tidak boleh mewakili negara meskipun sudah bergelar rakyat Malaysia berdasarkan peruntukan sedia ada kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh FIFA.
“Bagi kelayakan menyarung jersi Malaysia, pemain perlu berada selama lima tahun di Malaysia dan berdasarkan Artikel 6 (5) Statut Undang-Undang FIFA memberi definisi ‘berada di negara’ iaitu perlu berada di Malaysia sekurang-kurangnya 183 hari dalam tempoh 12 bulan untuk dikira sebagai setahun berada di negara,” kata Nik Erman.
Situasi itu bermakna pemain terbabit perlu melalui proses seperti untuk mendapatkan status naturalisasi dan mereka mesti beraksi di Liga M selama lima tahun jika mahu kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Namun, muncul beberapa persoalan termasuk adakah ada pasukan tempatan yang mampu untuk menjadi ‘pak sanggup’ membawa mereka beraksi di Liga M selepas tamat penggantungan?
Bagi tiga pemain iaitu Irazabal, Figueiredo dan Hevel, mereka mungkin memiliki peluang lebih baik kerana ketika ini sudah bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula musim ini.
Persoalan lain pula adalah mengenai usia mereka dengan Holgado ketika ini sudah berusia 30 tahun, Garces (26), Machuca (25), Palmero (23), Irazabal (28), Figueiredo (29) dan Hevel (29).
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berpendapat sukar untuk pasukan tempatan membawa pemain warisan itu untuk beraksi di Liga M terutama sekiranya perlu mengeluarkan belanja besar untuk membayar gaji tinggi.
Beliau yang sudah lebih 20 tahun berperanan sebagai ejen pemain juga menyifatkan usia beberapa pemain itu yang akan melebihi 30 tahun (selepas penggantungan setahun dan tambahan lima tahun perlu berada di Malaysia) dianggap kurang berbaloi untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
“Saya fikir kebanyakan pasukan Liga M sukar untuk dapatkan khidmat mereka kerana faktor utama adalah kewangan. Ketika ini tidak banyak pasukan Liga M yang ‘kaya’ dan mampu untuk membayar gaji tinggi kepada pemain.
“Beberapa daripada mereka seperti Holgado sekarang sudah berusia 30 tahun, selepas penggantungan setahun dan tambahan lagi lima tahun, usianya akan mencecah 36 tahun. Jadi, mungkin tidak berbaloi atau sesuai untuk dia beraksi di pentas antarabangsa.
“Namun, mungkin ada Liga Liga M yang berminat untuk mendapatkan mana-mana pemain terbabit, tapi itu terpulang kepada kemampuan pasukan itu sendiri,” kata Effendi kepada BH Sukan.
Sebagai rekod, FIFA sebelum ini menolak rayuan FAM sekali gus mengekalkan semua hukuman termasuk penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (RM10,374) kepada setiap pemain denda FAM turut dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta).
FAM dalam kenyataan memaklumkan mereka akan memohon alasan bertulis daripada FIFA dan akan meneliti langkah susulan termasuk kemungkinan membawa kes itu ke CAS.