KUALA LUMPUR: Selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan Harimau Malaya, tumpuan kini terarah ketika dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
FIFA sebelum ini membatalkan keputusan perlawanan skuad negara berdepan Cape Verde, Singapura dan Palestin kerana menurunkan pemain yang tidak layak untuk beraksi dalam tiga perlawanan terbabit.
Bukan sahaja keputusan perlawanan dibatalkan malah malang turut menimpa apabila Malaysia turut diisytihar kalah dengan jaringan 0-3 pada ketiga-tiga aksi terbabit.
Jadi adakah keputusan FIFA ini akan turut memberi impak kepada dua keputusan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal dan Vietnam kerana tujuh pemain terbabit diturunkan pada perlawanan itu?
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John bagaimanapun menjelaskan badan induk itu belum lagi membuat ketetapan dan memberi bayangan untuk tidak mengambil langkah sama buat masa ini.
Windsor memaklumkan AFC akan memberi ruang sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan isu terbabit di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebelum tindakan selanjutnya diumumkan.
“Ya, kita tunggu CAS dahulu buat masa ini. Keputusan ini pun baru keluar dari FIFA jadi kita kena semak dulu,” kata Windsor kepada BH Sukan.
Terdahulu, FIFA mengenakan ‘hukuman tambahan’ itu kepada FAM selepas mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio itu mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan terbabit.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada ketiga-tiga perlawanan itu. Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).
“FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini,” kata FAM.
Sebagai rekod, tujuh pemain yang digantung FIFA itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.