SEOUL: Pemain Terbaik Tahunan AFC, Akram Afif mahu melakar sejarah baharu selepas menyertai sekelompok pemain yang memenangi anugerah individu tertinggi benua itu sebanyak dua kali.
Afif menyertai pemain Jepun, Hidetoshi Nakata dan Server Djeparov dari Uzbekistan sebagai pemain yang memenangi anugerah tertinggi Konfederasi Bolasepak Asia dua kali, dan pemain Qatar itu kini berazam untuk melengkapkan hatrik.
“Saya mahu mencipta sejarah, saya mahu membuat sesuatu yang besar dalam kehidupan saya,” kata Afif, yang kali pertama memenangi anugerah itu pada tahun 2019, selepas meraih trofi pada satu majlis di Seoul.
“Esok anak lelaki saya, seseorang akan bercakap mengenai saya dan apa yang saya lakukan buat negara, apa yang saya lakukan terhadap diri sendiri, apa yang saya buat terhadap kelab. Ya, saya memenanginya dua kali, tetapi ada pemain lain juga yang memenanginya dua kali.
“Ya, saya menang Piala Asia dua kali tetapi ada pemain lain yang berjaya memenanginya lebih dua kali. Jadi saya masih belum melakukan sesuatu yang besar.”
Afif memenangi anugerah terbaharu selepas memainkan peranan penting kejayaan negaranya mempertahankan kejuaraan Piala Asia di Qatar awal tahun ini, dengan kejayaannya bersama pasukan dan individu mengulangi pencapaiannya pada 2019.
Ketika itu penyerang Al-Sadd itu turut mengemudi kejayaan pertama Qatar menjuarai Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu lima tahun lalu dan persembahan itu turut menyaksikannya dinamakan sebagai pemain terbaik benua oleh konfederasi.
Dengan Afif akan menyambut hari lahir ke-28 bulan depan dan dengan dua trofi kini berada dalam kabinetnya, dia berazam untuk terus mengukir kejayaan buat dirinya, kelab dan pasukan kebangsaan.
“Sudah tentu saya berbangga dengan diri saya dan apa yang saya lakukan, tetapi saya mahukan lebih lagi,” katanya.
“Setiap orang mahu lebih, setiap orang mahu lebih baik berbanding semalam, jadi saya mahu menjadi yang pertama melakukannya tiga kali.
“Saya mahu menang (Liga Juara-Juara Asia Elit), saya tidak pernah memenanginya bersama kelab saya. Ya, saya menang (Piala Asia) dua kali bersama pasukan kebangsaan… tetapi ada banyak lagi perkara yang saya tidak lakukan.
“Saya berdoa kepada Tuhan untuk membantu saya dan saya akan melakukan yang terbaik setiap hari, bermula esok.”
sumber:-BH
Afif turut terbuka dengan prospek kembali memperagakan aksi bola sepak di Eropah sesudah kembali ke Qatar selepas bermain di Sepanyol dan Belgium pada peringkat awal kariernya. – REUTERS