JOHOR BAHRU: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail dan atlet ping pong kebangsaan, Tee Ai Xin dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Johor di majlis Anugerah Sukan Johor (ASJ) kali ke-31 yang diadakan di Dewan Kenanga, Majlis Bandaraya Johor Bahru, malam tadi.
Masing-masing membawa pulang piala pusingan serta hadiah wang tunai RM7,000.
Kejayaan Afiq muncul pemain bola sepak pertama merangkul anugerah berkenaan berdasarkan pencapaiannya membantu skuad Harimau Selatan menjulang kejuaraan Liga Super bagi musim 2023 dan 2024.
Malah Afiq juga membantu pasukan JDT memenangi Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala FA pada musim 2023 dan 2024.
Selain itu dia juga dipilih pemain tengah terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2023 dan turut memenangi bersama JDT selaku pasukan terbaik pada anugerah berkenaan serta dipilih bantuan jaringan terbaik bagi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim 2024 dan 2025.
“Alhamdullilah saya tidak menjangka akan dipilih sebagai Olahrawagan Johor dan bersyukur dengan kejayaan yang diraih.
“Dan saya ingin memberi kata-kata semangat buat atlet yang meningkat naik supaya tidak mudah berputus asa jika ingin berjaya, ada ketika kita jatuh dan harus bangkit malah atlet kena cekal dan mampu menempuh apa jua rintangan kerana tiada jalan pintas untuk berjaya.
“Memang tak sangka akan menang dan semuanya adalah rezeki buat saya malah dapat anugerah di hari jadi dan ia juga meningkatkan lagi motivasi untuk meneruskan karier bola sepak dan membantu JDT untuk melakar kejayaan,” kata pemain kelahiran Pontian, Johor itu.
Afiq mengetepikan dua lagi calon iaitu pemain badminton negara, Nur Izzudin Rumsani dan atlet kenu kebangsaan, Montoya Raw Aik Michael.
Manakala Ai Xin mengetepikan dua calon – atlet menembak kebangsaan, Nurul Syasya Nadia Mohd Ariffin dan atlet kenu kebangsaan, Nur Amirah Anisah Abdul Kadir.
Sementara itu, atlet olahraga negara, Umar Osman memahat nama selaku Olahragawan Harapan Johor dan pemain badminton negara, Dania Sofea Zaidi dipilih Olahragawi Harapan pada majlis itu.
Bagi Umar yang baru pulang dari Jepun selepas menyertai Kejohanan Olahraga Dunia menegaskan, kejayaan itu bakal menyuntik semangat buat dirinya untuk berusaha mencatat masa di bawah 46 saat bagi acara 400 meter.
“Sudah tentu ia mencetus semangat buat saya untuk meraih kejayaan pada Sukan SEA di Thailand pada Disember ini selain Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Insya-Allah langkah demi langkah untuk capai kejayaan.
“Sasaran saya untuk tahun ini adalah untuk lari di bawah 46 saat, oleh itu saya perlu ikut proses latihan dan ketika ini latihan kepada fokus untuk memperbaiki di larian akhir 100 meter bagi acara 400 meter dan kini berlatih di Kluang, Johor di bawah pengawasan jurulatih, Simon Low,” kata Usman.