sukan

Aidil belum bersedia kembali ke pangkuan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin menegaskan belum terlintas di fikirannya untuk kembali bertaut dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas lebih setahun meninggalkan badan induk itu.

Aidil, yang kini menghuni ranking ke-43 dunia berkata, status sebagai pemain profesional memberi lebih ruang untuknya berkembang sejak keluar dari BAM pada Jun 2024.

“Bagi saya, saya tak fikir lagi nak masuk dalam (BAM),” kata pemain berusia 24 tahun itu yang sebelum ini pernah berada pada ranking terbaik kariernya, ke-34 dunia musim ini.

Semalam, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen, tidak menolak kemungkinan membawa masuk semula pemain profesional sekiranya mereka bersedia memberikan komitmen penuh.

Menurutnya, disiplin tinggi menjadi syarat utama memandangkan bakat semata-mata tidak cukup untuk bersaing pada tahap tertinggi.

Jurulatih dari Denmark itu turut mengakui BAM sedang menilai langkah terbaik untuk memperkukuh kem perseorangan lelaki, termasuk kemungkinan memanggil kembali pemain profesional seperti Aidil dan Cheam June Wei.

Aidil yang kini berlatih di bawah bimbingan jurulatih Indonesia, Nova Armada, mengakui status pemain bebas memberi keselesaan kepadanya ketika ini.

“Buat masa sekarang, saya rasa selesa lagi di luar,” katanya yang dalam masa sama tidak menutup pintu sepenuhnya jika peluang kembali ke pangkuan BAM hadir suatu hari nanti.

“Kena fikir dululah. Apa pun, saya nak tunjukkan apabila dalam gelanggang atau setiap perlawanan, saya dapat tunjukkan prestasi. Saya kena buat yang terbaik,” katanya.