sukan

Aidil berharap penyokong memenuhi Stadium keramat The Cats

Kuching City FC enggan berputih mata di laman sendiri apabila membuka tirai kempen Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026/27 menentang Tampines Rovers FC di Stadium Taha Ariffin, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata kelebihan beraksi di stadium keramat itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin selepas The Cats gagal memperoleh keputusan yang diharapkan dalam dua saingan terdahulu ketika beraksi di gelanggang lawan.

Menurutnya, aksi di laman sendiri memberi peluang kepada pasukannya untuk bangkit selain mendapatkan kembali keyakinan, terutama dengan sokongan padu penyokong.

“Jika melihat kepada dua pertandingan yang kami sertai, ACL2 dan liga, kami tidak melakukannya dengan baik tetapi kedua-duanya adalah di tempat lawan.

“Kali ini kami bermain di tempat sendiri dan sudah pasti kami mahu mengubah perkara itu dengan mendapatkan keputusan positif,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang mudah Tampines Rovers yang disifatkannya sebagai pasukan berkualiti dan berpengalaman di pentas antarabangsa.

“Kami tidak boleh memandang rendah pihak lawan, tetapi kami perlu bermain mengikut perancangan. Kami perlu kuat dan lebih agresif serta dominan.

“Tidak kira dari mana pihak lawan datang, perkara paling penting adalah kami mendapat sokongan penuh,” katanya.

Dalam pada itu, Aidil berharap penyokong The Cats memenuhi Stadium Taha Ariffin bagi menyuntik semangat kepada pasukan dalam aksi sulung kejohanan tersebut di laman sendiri.

“Kami mahu para peminat datang dan menyokong pasukan tidak kira apa keputusannya, hujan atau panas. Sudah pasti pasukan akan menghargai sokongan mereka,” katanya.