Kuala Lumpur: “Tiada tempat untuk berasa selesa, mereka perlu berusaha merebut tempat”.
Itu peringatan diberikan pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Brunei DPMM FC di Stadium Negeri di Kuching, malam esok.
Selepas meraih bekalan selesa 3-1 dalam aksi pertama di Bandar Seri Bagawan sebelum ini, Aidil akui kesemua pemain perlu berusaha memikat perhatiannya termasuk tonggak baharu, Gabriel Palmero.
Ujarnya, kehadiran Palmero yang juga pemain skuad Harimau Malaya bakal memberi pilihan tambahan buatnya, Aidil melihat ia akan menghadirkan persaingan sihat dalam pasukan untuk pemain terus berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Ini ialah strategi dan pelan saya juga sebab saya tidak mahu pemain lain terus rasa selesa sebab di sini segalanya adalah tentang kerja keras untuk mereka berusaha merebut tempat.
“Tapi saya gembira sebab setakat ini semua pemain saya memang tidak pernah pun rasa cepat selesa dan mereka tahu peranan masing-masing.
“Ditambah pula, saya dapat tengok Palmero bukan sahaja boleh main di bek kiri, sebab saya ada cuba letak dia di bek kanan, dan dia nampak selesa juga di posisi itu, jadi ini adalah petanda yang baik untuk pasukan”, katanya.
Kuching City FC kini hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke separuh akhir dan akan menunggu lawan sama ada Selangor FC atau Negeri Sembilan FC di peringkat empat terbaik nanti.
Dengan kelebihan dua gol dalam tangan serta sokongan padu yang bakal diterima, anak didik Aidil dilihat tidak menghadapi masalah melepasi halangan suku akhir itu malam esok.