KUCHING: Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berpendapat mereka sepatutnya meraih kemenangan ketika terikat 1-1 dengan Kitchee SC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.
Bagaimanapun, beliau mengakui The Cats perlu lebih tajam menyudahkan peluang bagi memastikan tekanan terhadap lawan diterjemahkan kepada kemenangan.
“Saya fikir kami layak memenangi perlawanan ini,” kata Aidil pada sidang media selepas perlawanan.
Aidil berkata, beliau tidak mahu memperlekeh kemampuan Kitchee, namun menegaskan pasukannya mencipta peluang dan memberikan tekanan untuk memburu jaringan.
“Jika anda tidak menjaringkan gol, anda tidak memenangi perlawanan. Jadi, bukan sahaja aspek bertahan, kami juga perlu lebih tajam dalam serangan,” katanya.
Mengulas peningkatan persembahan pada separuh masa kedua, Aidil menjelaskan perubahan taktikal ketika rehat dilakukan bagi merapatkan ruang di bahagian tengah yang dimanfaatkan pelawat.
Menurutnya, pasukannya memberi ruang kepada pertahanan tengah lawan untuk bergerak ke kawasan berkenaan, sekali gus membolehkan Kitchee mencipta kelebihan bilangan pemain di tengah.
Beliau memuji sumbangan Ryan Lambert selepas dimasukkan pada separuh masa kedua, selain menyifatkan perubahan seterusnya membantu Kuching City meningkatkan tekanan dan tampil lebih menyerang.
Aidil bagaimanapun menegaskan tanggungjawab memperbaiki kelemahan itu perlu dipikul seluruh pasukan, dengan kekompakan serta disiplin menjadi aspek utama untuk ditingkatkan.
Menurutnya, semua pemain perlu menjalankan tugas ketika menyerang dan bertahan, bukannya meletakkan tanggungjawab kepada pemain di posisi tertentu sahaja.
Walaupun keputusan tidak menepati sasaran, beliau tetap menghargai komitmen pemain dan melihat perkembangan positif dalam keserasian serta persefahaman pasukan.
Dalam pada itu, Aidil mengakui jadual padat memberikan cabaran untuk memastikan pemain mendapat pemulihan mencukupi, selain mengehadkan masa latihan menjelang perlawanan berikutnya.
Beliau menyifatkan penyertaan pertama Kuching City dalam kejohanan itu sebagai proses pembelajaran, sambil menekankan keperluan mengurus tuntutan beraksi dalam lima pertandingan musim ini.
Katanya, tumpuan lebih besar perlu diberikan kepada saingan liga bagi memastikan pasukan kekal berdaya saing dan berpeluang kembali beraksi di pentas Asia musim depan.