sukan

Aidil Sharin masih belum berpuas hati persembahan anak buahnya

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak masih belum berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun membelasah Kuala Lumpur (KL) City 6-0 dalam aksi Liga Super, semalam.

Skuad The Cats memiliki kelebihan pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu apabila City Boys hanya menurunkan 10 pemain kerana tidak cukup pemain susulan sekatan pendaftaran oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Aidil bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak memikirkan mengenai nasib buruk yang menimpa pasukan lawan, sebaliknya hanya memberi fokus kepada apa yang perlu dilakukan pasukannya.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai pasukan lawan. Perkara paling penting adalah kami fokus kepada pasukan sendiri dan objektif kami adalah untuk mendapatkan tiga mata, tidak kira apa sahaja yang akan berlaku terhadap kami.

“Pada separuh masa pertama, kami bermain agresif dalam 20 minit pertama dan mendahului dua gol, selepas itu kami mula memperlahankan sedikit permainan. Kami tidak mengambil banyak peluang yang ada.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan beberapa situasi kerana kami tahu kami boleh melakukan lebih baik. Saya sentiasa memberitahu pemain, apa sahaja keputusan atau apa yang dilakukan lawan, kami masih perlu menjalankan tugas dan kekal profesional.

“Mendapat tiga mata dan menjaringkan enam gol, saya gembira dengan perkara itu, tetapi seperti yang saya katakan, saya masih sedikit tidak berpuas hati dengan beberapa situasi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kuching City juga terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas James Okwuosa dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama, namun ia tidak menjejaskan rentak mereka apabila berjaya menambah empat lagi gol pada babak kedua.

Selain itu, Aidil menjelaskan kemenangan besar ke atas KL City itu dapat menebus kekecewaan tewas 0-3 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi sumbangsih, Jumaat lalu.

“Kami perlu mendapatkan tiga mata kerana kami tewas dalam perlawanan sebelum ini dan bukan itu sahaja, kami melepaskan tiga gol ketika menentang JDT, jadi kami perlu menebus kembali kekalahan.

“Sudah tentu kami perlu lebih dahagakan kemenangan dan anda boleh lihat saya melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama untuk memastikan beberapa pemain lebih segar dan lebih bersemangat untuk perlawanan ini,” katanya.