sukan

Akhirnya FIFA beri ‘lampu hijau’ kepada 2 bintang JDT

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sudah memberikan ‘lesen’ kepada dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Brad Tapp untuk layak mewakili pasukan kebangsaan Malaysia.

Perkembangan menggembirakan seluruh penyokong Harimau Malaya itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini menjelang saingan Piala ASEAN FIFA, hujung bulan ini.

FAM menjelaskan, badan induk itu menerima pengesahan berkenaan selepas FIFA selesai membuat semakan terhadap status kelayakan kedua-dua pemain terbabit berdasarkan peraturan dan peruntukan yang ditetapkan.

“Status dua lagi pemain JDT iaitu Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih dalam proses semakan serta pengesahan oleh FIFA dan FAM masih menunggu keputusan rasmi daripada badan induk bola sepak dunia itu.

“FAM akan terus memberikan kerjasama dan mengemukakan segala maklumat serta dokumen yang diperlukan kepada FIFA berkaitan proses semakan berkenaan.

“FAM akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai status Hidalgo dan Lowry selepas menerima pengesahan rasmi daripada FIFA,” menurut kenyataan FAM.

Sebelum ini, Bergson, Hidalgo dan Lowry mendapat status pemain naturalisasi manakala Tapp sebagai pemain warisan, dengan keempat-empatnya disenaraikan sebagai pemain tempatan dalam saingan domestik.

Terdahulu, media melaporkan status empat pemain Harimau Selatan itu sama ada boleh beraksi atau tidak bersama Harimau Malaya bermula saingan Piala ASEAN FIFA menjadi tanda tanya.

Ia susulan semakan terhadap platform FIFA mendapati nama keempat-empat pemain berkenaan tidak muncul dalam senarai yang dirujuk sebagai rekod pertukaran persatuan.