sukan

Akhirnya FIFA dedah status sebenar Rob Friend

Kuala Lumpur: Benarkah Rob Friend hanya perunding atau konsultan dan bukannya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya?

Itu persoalan yang timbul selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan status sebenar Friend dalam projek skuad kebangsaan yang bergerak berasingan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hujung tahun lalu.

Menerusi alasan bertulis penuh setebal 64 muka surat yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA awal pagi tadi, Friend yang dipanggil memberi keterangan mengakui dirinya hanyalah seorang konsultan skuad kebangsaan.

Malah katanya, dia menetap di Kanada dan hanya datang ke Malaysia untuk menghadiri perlawanan babitkan skuad negara sahaja.

“Friend menjelaskan dia berperanan sebagai perunding kepada FAM, berpusat di Kanada dan melakukan perjalanan ke Malaysia pada hari perlawanan, serta menyatakan tugasnya adalah membantu projek tersebut, terutamanya dalam aspek penambah baikan kejurulatihan dan staf teknikal.

“Dia menyatakan semua proses berkaitan naturalisasi pemain diuruskan sepenuhnya oleh FAM di Malaysia dan dirinya hanya ditugaskan untuk membantu prosiding tersebut sejak ia dibuka pada 22 Ogos 2025.

“Dia juga menyatakan tidak mengetahui sebarang salah laku dan tidak terlibat dalam mana-mana proses sebelum tarikh tersebut,” kata FIFA dalam alasan bertulis penuh atau ‘motivated decision’ pada perenggan 79 di muka surat 23.

Pendedahan FIFA itu nyata mengejutkan jutaan peminat bola sepak tempatan yang semakin keliru.

Sebelum ini, FAM mengumumkan Friend sebagai CEO Harimau Malaya bagi menguruskan pasukan kebangsaan yang diasingkan daripada pengurusan FAM.

Malah dalam beberapa temubual bersama media sejak awal tahun ini, Friend sendiri mengaku di depan jutaan penyokong status dirinya yang menguruskan pasukan negara dengan dibantu bekas CEO Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard sebagai Timbalan CEO skuad Harimau Malaya.