Kuala Lumpur: Uji kaji dalam usaha melahirkan beregu campuran bertaraf elit nampaknya belum membuahkan hasil apabila beberapa gandingan baharu negara itu gagal melangkah lebih jauh di Masters Korea, hari ini.
Meskipun bermula baik di pusingan pertama, momentum itu gagal diteruskan oleh Loo Bing Kun–Noraqilah Maisarah Ramdan apabila tewas kepada wakil Thailand, Phuwanat Horbanluekit–Benyapa Aimsaard 17-21, 21-16, 21-11 dalam aksi pusingan 16 terbaik.
Dua lagi pasangan ‘percubaan’, Wee Yee Hern–Vannee Gobi dan Low Han Chen–Chan Wen Tse turut mengalami nasib sama apabila terpaksa pulang awal selepas tewas di pusingan pertama semalam.
Menurut ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, beliau melakukan beberapa pertukaran dalam sektor itu kerana ingin mencari pelapis kepada dua pasangan utama negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin.
Ketika ini, Malaysia masih bergantung kepada dua beregu campuran berkenaan dan sebab itu Nova mahu melahirkan lebih ramai gandingan dalam acara ini.
“Ya, memang. Sebenarnya sebelum Kejohanan Remaja Dunia, kita sudah rancang sebab saya tengok pemain junior ini, masa depan mereka bagus tapi kita perlu mencari yang terbaik agar boleh menjadi pasangan ketiga negara selepas kita ada dua gandingan ketika ini,” katanya.
Sebagai makluman, jurulatih kelahiran Indonesia itu memilih Noraqilah yang mencipta nama selepas muncul naib juara dunia baru-baru ini bersama Low Zi Yu dalam beregu wanita sementara gandingannya bersama Bing Kun dilihat mempunyai asas kukuh dan saling melengkapi.
“Selama ini, Bing Kun sudah berpengalaman dan dalam latihan dia paling baik. Saya beri peluang sebab saya tengok Noraqilah masih baharu dan muda, tetapi dia mempunyai bakat yang bagus,” katanya.
Selain itu, pasangan seperti Yee Hern–Vannee, Han Chen–Wen Tse dan Cheng Su Hui–Muhammad Fazriq Razif juga akan menjadi tonggak sokongan utama bagi menampung jurang antara pemain utama dan skuad pelapis.
“Mungkin untuk sementara ini, tiga pasangan itu saya harap boleh mengisi jurang antara dua peringkat tertinggi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Nova menjelaskan bahawa misi untuk mencari beregu campuran ketiga negara bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan masa, namun beliau tetap optimis perkara itu dapat direalisasikan.