sukan

Akhirnya Ribera dedah punca utama dibelasah Vietnam

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Javier Jorda Ribera mengakui Vietnam beraksi dengan kualiti permainan lebih baik ketika skuadnya dibelasah 0-4 pada aksi kelayakan Piala Asia B-17 2026 di Stadium PVF, Hung Yen, Vietnam, semalam.

Kekalahan pada aksi terakhir Kumpulan C itu menyaksikan Harimau Malaya B-16 menamatkan saingan di tangga kedua dan terpaksa akur melepaskan tiket ke pusingan akhir di Arab Saudi kepada Vietnam.

Ribera menjelaskan, kegagalan mendapatkan jaringan daripada beberapa peluang turut menjadi antara faktor pasukannya tewas mudah dalam perlawanan penentuan itu.

“Secara keseluruhan, Vietnam menunjukkan tahap permainan terbaik mereka dan kami tidak berada pada keadaan yang memihak kepada kami. Kami mempunyai peluang untuk membuka jaringan pada awal permainan, namun dua minit kemudian Vietnam menjaringkan gol yang berpunca dari sepakan percuma.

“Selepas itu tekanan kepada kami dan kami bergelut menghadapi serangan balas mereka. Mereka mengawal tempo permainan dan sebelum tamat babak pertama, mereka menjaringkan gol kedua.

“Pada separuh masa kedua, kami melakukan beberapa perubahan untuk cuba mencari gol dan kami mencipta satu lagi peluang yang baik, tetapi sekali lagi Vietnam memberikan tindak balas dan menjaringkan gol ketiga.

“Kami melakukan pertukaran pemain untuk mengekalkan struktur pasukan. Malangnya, kami tidak berjaya menyempurnakan peluang yang kami ada,” katanya.

Meskipun kecewa skuad negara gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-17, Ribera bagaimanapun tetap bangga dengan prestasi yang ditunjukkan barisan pemainnya.

“Sepanjang kejohanan, pasukan bekerja keras dan beraksi baik sebagai satu kumpulan, menamatkan saingan dengan empat kemenangan dan satu kekalahan.

“Kami tidak layak, namun kami mempunyai beberapa pemain yang boleh dipertimbangkan untuk masa depan dan untuk skuad kebangsaan pada peringkat umur lebih tinggi,” katanya.