sukan

Akhyar dedah punca lewat umum pertunangan

KUALA TERENGGANU: Pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid tidak berniat untuk merahsiakan status pertunangannya dengan pelakon, Eyka Farhana kepada umum.

Sebaliknya, jelas pemain sayap lincah skuad Penyu itu, dia menanti masa yang sesuai dan tenang menjadi faktor dia bersama Eyka mengambil masa sehingga tiga bulan untuk berkongsi detik bahagia itu.

“Sebenarnya saya tidak berniat untuk merahsiakan status pertunangan dengan Eyka kepada peminat.

“Tapi disebabkan mahu menyelesaikan beberapa perkara termasuk tugasan bersama pasukan kebangsaan dalam temasya Pestabola Merdeka pada September lalu menyebabkan kami belum bersedia lagi untuk umumkannya ketika itu.

“Tapi kini apabila semuanya tenang, kami mengambil keputusan untuk mengumumkannya kepada peminat,” ujar pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ketika ditemui pada sesi latihan TFC di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, petang semalam.

Terdahulu pada Isnin, tunangnya yang berusia 29 tahun itu memaklumkan dia sudah melangsungkan majlis pertunangan dengan tonggak skuad kebangsaan kelahiran Kedah itu pada 4 Ogos lalu.

Ketika ditanya perasaannya berkaitan perkara itu, Akhyar yang sudah menjaringkan empat gol bersama TFC sejak bersama pasukan itu bermula awal musim ini akui begitu terharu dan gembira.

“Perasaan saya ketika ini begitu gembira dan terharu serta syukur terutama selepas perancangan majlis pertunangan itu berjalan dengan lancar.

“Mengenai tarikh perkahwinan kami merancang untuk menamatkan zaman bujang pada tahun depan, tapi bulannya belum pasti lagi bila.

sumber:-BH

“Tapi tempat majlis perkahwinan itu jika ikutkan perancangan kami nak langsungkan di Kedah pun ada, di KL (Kuala Lumpur) pun ada,” katanya.