sukan

Akinade masih ‘bernafsu’ untuk buru gol

KUALA TERENGGANU: Selepas meledak dua gol ketika membantu Terengganu FC (TFC) membelasah Sabah FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA minggu lalu, Ismaheel Akinade kian ‘bernafsu’ untuk buru gol seterusnya.

Tegas penggempur kelahiran Nigeria itu, jaringan berkenaan begitu berharga selain memberi keyakinan kepadanya untuk membuktikan kemampuan sebenarnya biarpun sebelum ini dikritik peminat sendiri berikutan prestasi.

Penyerang berketinggian 1.90 meter itu berkata, kerjasama rakan sepasukan selain usaha tanpa mengenal erti penat lelah menjadi kunci kejayaan pasukannya selain taktikal yang diterapkan jurulatih.

“Alhamdulillah rezeki saya berjaya menjaringkan dua gol ketika menumpaskan Sabah FC 4-0 minggu lalu, terima kasih kerjasama rakan sepasukan selain kepercayaan yang diberikan barisan kejurulatihan.

“Sebagai penyerang, saya tidak pernah berasa puas untuk menjaringkan gol, ini tugas saya, jadi sekali lagi berdepan Sabah FC pada Sabtu ini, semangat untuk menjaringkan gol kian tinggi.

“Jika berpeluang, saya tekad untuk tambah bilangan gol peribadi dan juga pasukan selain membantu rakan di posisi pertahanan lebih-lebih lagi lawan pastinya bakal mengamalkan corak permainan menyerang,” kata Akinade.

Ketika ditanya adakah kemenangan besar itu memberi jaminan buat pasukannya untuk melangkah ke separuh akhir, bekas penyerang Kelantan United FC (KUFC) musim lalu itu menjelaskan dalam bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Atas kertas kelebihan sudah pasti memihak kepada kami, tapi dalam bola sepak apapun boleh terjadi, lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan dengan sokongan padu daripada penyokong mereka.

“Tapi saya percaya dengan taktikal jurulatih kami kerana misi kami adalah untuk layak ke separuh akhir terlebih dahulu sebelum mengintai peluang ke final,” katanya.

sumber:-BH

Pada aksi suku akhir pertama, Akinade yang baru musim pertama menyarung jersi TFC meledak gol kedua dan keempat pasukannya manakala dua gol lagi masing-masing dijaringkan Manuel Ott dan Marin Pilj.