KUALA TERENGGANU: Penyerang utama Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade menafikan prestasinya merudum selepas hanya meledak satu gol dalam empat perlawanan setakat ini.
Penyokong setia skuad kendalian Tomislav Steinbruckner menzahirkan kegusaran dengan prestasi penyerang import baharu itu namun Akinade menegaskan yang prestasinya kian meningkat bersama skuad Penyu.
“Prestasi saya setakat ini tidak begitu teruk sebagaimana anda saksikan, bagaimanapun persembahan itu bukanlah yang terbaik yang diperagakan oleh saya.
“Saya percaya dengan menyertai lebih banyak perlawanan dengan minit permainan yang bertambah terutama bersama pasukan baharu, corak permainan akan lebih meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Selain itu, kerjasama daripada rakan sepasukan selain tunjuk ajar barisan kejurulatihan mampu meningkatkan lagi motivasi saya untuk terus membantu pasukan memburu kemenangan.
“Pada masa sama juga saya harapkan mampu menambah lagi bilangan jaringan terutama berdepan Kuching City FC (KCFC) pada aksi Liga Super di tempat lawan Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi.
sumber:-BH
Pemain yang pernah beraksi dengan kelab Ho Chi Minh City FC dalam Liga Vietnam itu setakat ini meledak gol pertamanya menerusi sepakan penalti ketika berdepan KDN FC untuk membantu TFC menang 3-0.