sukan

Akinade tidak rela kempunan lagi

KUALA TERENGGANU: Selepas kempunan untuk melakar kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir, penyerang Terengganu FC, Ismaheel Akinade tekad menamatkan penantian panjang itu.

Jelas pemain dari Nigeria itu, mereka berazam untuk menamatkan kemarau itu apabila berdepan Perak FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Sabtu ini.

Bagaimanapun bekas pemain Kelantan United itu sedar ia bukan tugas mudah lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan pada sebelah petang.

“Kami sentiasa bersedia bagi setiap perlawanan, tetapi Liga Super kompetitif dan semua pasukan bagus serta mahu menang.

“Jadi bukan selalu mudah buat kami ketika menentang mana-mana pasukan sehingga kami begitu lama tidak menang biarpun sudah gandakan usaha dan masing-masing menyajikan persembahan terbaik, namun ia belum berhasil.

“Insya-Allah berdepan Perak nanti, kami harap corak persembahan pasukan akan berubah dan mampu meningkat kerana bukan sahaja kami dahagakan kemenangan, malah peminat pun juga begitu.

“Kami percaya jika kami menang, ia bakal menjadi detik kebangkitan, saya juga pasti kemenangan akan terus dilakar oleh pasukan sekali gus mampu menjarakkan lagi kedudukan dengan pasukan lain dalam saingan liga.

“Buat peminat setia, berikanlah sokongan padu kepada kami kerana sorakan dan kata-kata semangat anda begitu ditagih dalam setiap perlawanan,” ujar pemain berusia 30 tahun itu ketika dihubungi.

sumber:-BH

TFC sebelum ini seri 1-1 dengan Sri Pahang, Sabah FC dan PDRM FC serta tewas kepada 1-0 di tangan Selangor FC dan Kedah Darul Aman.