sukan

Akmal harap pemainnya mengambil pengajaran menjadi ‘mangsa’

ALOR SETAR: Pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mahu pemainnya mengambil pengajaran selepas dua pemainnya menjadi ‘mangsa’ di bawah pengawasan Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika aksi pra-musim menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) di Stadium Darul Aman semalam.

Insiden pertama membabitkan pemain pertahanan Penang FC, Adib Raop yang dilayangkan kad merah selepas VAR mengesahkan kesalahannya menjatuhkan pemain sayap Kedah, Sukhrob Nurullaev pada minit ke-34 di luar kotak penalti.

Insiden keduaturut membabitkan pemain pertahanan Penang FC, Rafael Vitor yang dikesan VAR menarik baju pemain Kedah, Fadzrul Danel pada minit ke-49 dalam kotak penalti Penang FC sebelum pengadil memberikan sepakan penalti kepada KDA FC.

Pada aksi berkenaan, skuad Harimau Kumbang tewas 3-1 di tangan kepada Sang Kenari walaupun mendahului permainan hasil jaringan pembukaan pertahanan import, Richmond Ankrah.

Kedah bangkit dengan tiga gol menerusi dua jaringan penyerangnya, Milos Gordic dan satu gol oleh pemain tengah, Habib Haroon.

Menurut pengendali berusia 42 tahun itu, skuadnya yang kali pertama beraksi di bawah pengawasan sistem VAR, perlu cepat belajar supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesilapan mudah hingga mengundang hukuman yang memberi kesan terhadap pemainan pasukan.

“Memang ini satu pengajaran yang terbaik buat kami kerana sebelum ini saya dan juga pemain pun hanya sekadar melihat perkara seperti ini berlaku di kaca TV dan liga-liga luar sahaja, dan kita tahu apabila menggunakan sistem ini, sedikit kesalahan sahaja seperi sentuhan dalam kotak penalti boleh dihukum apabila pengadil merujuk kepada sistem VAR.

“Namun sekarang kami sendiri pula yang menghadapi perkara ini. Bagi saya, pemain perlu cepat belajar daripada apa yang kami lalui ini.

“Ia mampu membantu pemain untuk menjadi lebih bagus dalam permainan selepas ini.

“Sebagai pengajaran, kami perlu elak melakukan kesilapan dalam kotak penalti, elak terjahan yang tak sepatutnya.

“Kami juga perlu menghormati segala keputusan yang dibuat kerana kita tahu pengadil perlawanan membuat keputusan terbaik,” katanya.

sumber:-BH

Di sebalik kekalahan dan insiden kad merah yang berlaku semalam, Akmal Rizal berkata beliau tetap berpuas hati dengan prestasi awal yang ditunjukkan pemainnya di bahagian serangan, tengah dan sayap pasukan.