KUALA TERENGGANU: Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Muhammad Akram Mahinan tidak rela ‘berputih mata’ lagi dalam misi menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut.
Jelas ‘arkitek’ berusia 31 tahun itu, menentang pasukan negeri kelahirannya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di tempat lawan Sabtu ini, dia tekad untuk menghadiahkan tiga mata buat TFC.
Bagaimanapun bekas pemain kebangsaan itu sedar ianya bukan tugas mudah untuk menundukkan skuad Sang Kenari itu yang dibarisi pemain berpengalaman biarpun kini dihimpit masalah dalaman.
“Tanpa kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut ianya begitu memeritkan, bukan kami tidak menggandakan usaha, tetapi rezeki belum memihak biarpun ada ketikanya mendahului pasukan lawan.
“Jadi berdepan dengan pasukan negeri kelahiran, saya dan rakan sepasukan meletakkan impian yang tinggi untuk menamatkan kemarau tanpa kemenangan sebelum ini.
“Saya mengingatkan diri dan rakan sepasukan agar lebih fokus dalam setiap saat perlawanan bagi mengelak dihukum pasukan lawan yang pastinya mengidam tiga mata di tempat mereka.
“Buat peminat setia, teruskan menyokong kami, doakan kami, saya sedar kita sama-sama dahagakan kemenangan, semoga kejayaan menjadi milik TFC,” ujar Muhammad Akram ketika dihubungi.
Terdahulu, skuad yang sebelum ini dikendalikan jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner terikat 1-1 dengan Sri Pahang FC, Sabah FC dan PDRM FC serta tewas 0-1 di tempat sendiri kepada Selangor FC.
sumber:-BH
Skuad yang kini dibimbing penolong jurulatih, Badrul Afzan Razali selepas peletakan jawatan Steinbruckner tewas 2-3 kepada kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC serta terikat 2-2 dengan kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC dalam saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara (ACC) sebelum ini.