sukan

Aksi final Piala Malaysia tugasan akhir Bidoglio?

JOHOR BAHRU: Mungkinkah tugasan pada aksi final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC (SPFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini menjadi yang terakhir buat Hector Bidoglio bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) .

Penganalisis bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir tidak menolak kemungkinan ia tugasan terakhir pengendali kelahiran Argentina itu bersama skuad Harimau Selatan berdasarkan kenyataan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismall ketika sesi bertemu penyokong kelab JDT, baru-baru ini.

Katanya, kemungkinan JDT yang akan mengharungi kempen musim baharu 2025/2026 dan saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim depan mahukan pembimbing yang memilki taktikal permainan lebih berintensiti tinggi dengan hantaran bola dan pergerakan yang pantas.

“Bukan nak menafikankan kredibilti Hector dan beliau berjaya membimbing JDT sehingga meraih kejayaan menjuarai Liga Super buat kali ke-11 dan Piala FA malah mengintai kejuaraan Piala Malaysia.

“Tapi dalam permainan bola sepak moden sudah tentu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mahukan kelainan yang lebih `fresh’.

“Sebagaimana semua tahu, bola sepak moden memerlukam kekuatan fizikal dan taktikal selain menuntut setiap pemain membuat keputusan tepat dan pantas. Malah apa yang saya perhatikan semua itu masih belum mantap dalam pasukan JDT.

“Malah pelantikan legenda bola sepak kelab Liverpool, Luis Garcia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif JDT bakal beri impak terhadap JDT yang turut beri lebih keyakinan bagi menarik minat jurulatih yang memiliki reputasi tinggi untuk menyertai skuad Harimau Selatan.

“Kemungkinan akan ada nama besar membimbing pasukan itu dan kita tunggu dan lihat pengumuman pengurusan kelab berkenaan,’ katanya.

Untuk rekod menerusi sesi soal jawab bersama pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail berkongsi situasi terkini mengenai perkembangan Harimau Selatan bersama penyokong pada pertengahan Mac lalu.

Baginda merancang untujk memperbaiki pasukan merangkumi pemain atau jurulatih selain infrastruktur sedia ada.

Ditanya mengenai final piala berprestij yang tampak berkelebihan kepada JDT untuk memenangi piala berkenaan dalam usaha memburu kejuaraan `hatrik’, Hasnizam optimis akan ada cabaran sengit bakal disajikan skuad bimbingan Fandi Ahmad.

sumber:- BH

Jelasnya, mungkin rata-rata peminat akan menjangka JDT bakal memenangi final itu, tapi itu di atas kertas, sebaliknya pertembungan sebenar bakal berlangsung di Stadium Nasional yang menjanjikan corak permainan berintensiti tinggi dan corak permainan fizikal.