KUALA LUMPUR: Kehadiran pemain warisan baharu nyata berjaya mengubah corak permainan Harimau Malaya dan ia juga dianggap sebagai penyumbang terbesar kepada kejayaan skuad negara membelasah Vietnam 4-0, kelmarin.
Skuad negara menerima kehadiran lima pemain warisan sebelum aksi itu dengan Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Facundo Garces dan Jon Irazabal diletakkan dalam kesebelasan utama selain Imanol Machuca masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua.
Aksi ditampilkan mereka dilihat berjaya memikat hati penyokong Harimau Malaya terutama Figueiredo dan Holgado yang masing-masing berjaya menyumbang satu dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 itu.
Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kehadiran mereka memberi sumbangan besar kepada persembahan cemerlang skuad kendalian Peter Cklamovski, malah mengubah corak permainan Harimau Malaya seperti pasukan ‘mat salih’.
Beliau berkata, meskipun berstatus warisan, namun mereka memberikan aksi terbaik terutama Figueiredo yang bekerja keras untuk membantu Harimau Malaya menamatkan badi 11 tahun tidak menang ke atas Vietnam.
“Kalau kita tengok perlawanan malam itu, permainan kita memang ada sedikit seperti tengok bola mat salih, menarik tengok aksi Harimau Malaya. Kita tak usah fikir negatif, kita fikir aspek positif.
“Satu kemenangan yang manis, tidak menang selama 11 tahun ke atas Vietnam satu tempoh yang lama. Harimau Malaysia beraksi dengan baik terutama di babak kedua dan kita faham bukan mudah untuk dapatkan persefahaman terutama bagi pemain baharu dan beraksi di negara berasingan.
“Namun, mereka tetap berjaya beraksi dengan baik terutama Figueiredo, dia paling menyerlah dan nampak selesa. Malah, selepas gol pertama dia jaringkan, semua pemain beraksi dengan baik dan sebab itu dapat gol kedua, ketiga dan keempat,” katanya kepada BH Sukan.
Tiga mata yang diraih itu membolehkan Harimau Malaya mendahului saingan Kumpulan F dengan mengumpul enam mata, tiga mata di depan Vietnam dan Laos, manakala Nepal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Skuad negara selepas ini akan meneruskan perjuangan dalam Kumpulan F menentang pasukan ranking 190 dunia, Laos dua kali pada 9 dan 14 Oktober depan sebelum berdepan Nepal (ranking 175) pada 18 November depan.
Ditanya mengenai peluang Harimau Malaya untuk merebut tiket ke Piala Asia 2027, Irfan menjangkakan perlawanan terakhir kumpulan menentang Vietnam pada 31 Mac tahun depan tetap akan menjadi penentu pasukan yang akan ke pusingan akhir di Arab Saudi.
Beliau bagaimanapun menjelaskan kejayaan meraih kemenangan besar ke atas Vietnam iaitu pasukan yang sukar dijinakkan Harimau Malaya sebelum ini menunjukkan peluang besar dimiliki skuad negara itu meraih tiket itu.
“Memang satu satu tiket yang berharga. Mungkin kalau menang 1-0 saya tak berapa yakin sangat, tetapi boleh menang 4-0, memang satu kemenangan yang manis untuk kita.
sumber:- BH
“Lawan Laos dan Nepal selepas ini saya berasa peluang kita memang besar (untuk menang) dan Vietnam sekarang ini tertekan. Namun, perlawanan terakhir dengan mereka nanti mungkin tetap akan jadi penentu,” katanya.