KUALA LUMPUR: Bahang kehangatan Piala Sultan Selangor 2024 menghampiri kemuncak apabila Selangor dan Singapura akan membuat perhitungan di Stadium Merdeka, malam ini.
Perebutan trofi berprestij itu boleh dianggap istimewa bagi edisi kali ini kerana Singapura dan Selangor akan bertarung di gelanggang yang banyak memahat sejarah pertembungan epik kedua-dua pasukan itu satu ketika dahulu.
Nostalgia aksi di Stadium Merdeka mungkin lebih dirasai bekas pemain Selangor dan Singapura dengan mereka turut akan beraksi bagi perlawanan pasukan veteran sebelum aksi sebenar antara skuad Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura berentap.
Malah, kemunculan semula Piala Sultan Selangor selepas tertangguh sejak 2020 turut menambah kehangatan kejohanan itu dengan Selangor mahu mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas memenanginya pada 2018 dan 2019.
Selangor perlu robohkan benteng Terengganu
Skuad Gergasi Merah bagaimanapun perlu berdepan risiko untuk menyenaraikan barisan terkuat kerana mereka bakal mengharungi aksi penting final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 24 Ogos ini.
Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil harus membuat percaturan terbaik termasuk menyusun pemain yang bakal diturunkan bagi mengelak memberi kesan kepada skuad itu untuk berdepan JDT.
Menganggap Piala Sultan Selangor sebagai kejohanan penting buat Gergasi Merah, pengendali berusia 44 tahun itu dilihat akan tetap berusaha membentuk skuad mantap dalam usaha untuk menjulang trofi itu.
Malah, Nidzam sudah memberi gambaran awal bahawa Faisal Halim bakal mendapat lebih minit permainan dalam aksi berdepan Pilihan Singapura selepas dimasukkan pada penghujung perlawanan ketika menentang Kelantan Darul Naim (KDN) dan Sabah dalam aksi Liga Super.
“Selepas Sabah, kita ada (aksi) Piala Sultan Selangor, piala kita sendiri dan kita anggap piala itu penting. Tapi saya bersyukur kerana selepas itu kita ada enam atau tujuh hari sebelum final Piala FA,” kata Nidzam.
Pasukan Pilihan Selangor bergelar juara Piala Sultan Selangor sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019, manakala Pilihan Singapura menjulang trofi itu tujuh kali pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.
Pada 2004 kedua-dua pasukan bergelar juara bersama, manakala pada 2015 (edisi ke-14) terpaksa dibatalkan kerana jerebu.
Singapura pula hadir ke Stadium Merdeka dengan membawa misi untuk merampas kembali trofi berkenaan selepas kali terakhir menjulangnya pada 2017.
Apa yang menariknya, ketua jurulatih kelab Balestier Khalsa, Peter de Roo yang juga bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diberi tanggungjawab untuk mengemudi skuad Pilihan Singapura bagi menghadapi Piala Sultan Selangor 2024.
Selain berpengalaman dalam bola sepak Malaysia, dia juga memiliki banyak pilihan pemain yang beraksi dalam Liga Perdana Singapura yang mana pengendali dari Belanda itu dilaporkan bakal menyenaraikan empat pemain import – Riku Fukashiro, Kodai Tanaka, Kyoga Nakamura dan Shuya Yamashita.
“Menentang Selangor di Malaysia akan menjadi sangat istimewa buat saya secara peribadi. Saya memperoleh masa yang baik bekerja di Malaysia dan saya memahami kepentingan Stadium Merdeka dalam sejarah bola sepak Malaysia. Kami sangat menantikan cabaran itu,” kata De Roo.
Juara Piala Sultan Selangor
2001 – Selangor
2003 – Selangor
2004 – Selangor/Singapura
2005 – Selangor
2006 – Singapura
2007 – Singapura
2008 – Selangor
2009 – Singapura
2010 – Singapura
2011 – Singapura
2012 – Selangor
2013 – Selangor
2014 – Selangor
2016 – Singapura
2017 – Singapura
2018 – Selangor
2019 – Selangor
sumber:-BH