sukan

Al-Hilal perlu kerja keras untuk layak

RIYADH: Al-Hilal mendahului 2-0 menjelang suku akhir kedua Liga Juara-Juara Asia dengan pasukan sesama Liga Pro Saudi, Al-Ittihad minggu depan selepas dua gol dalam tempoh dua minit babak pertama membantu kelab Riyadh itu menang awal pagi tadi.

Penalti minit ke-40 disempurnakan Aleksandar Mitrovic meletakkan pasukan kendalian Jorge Jesus di depan di Arena Kingdom, Riyadh dengan Salem Al-Dawsari menggandakan kelebihan dua minit kemudian apabila pemain sayap Al-Hilal itu menyudahkan satu gerakan sepasukan mengagumkan.

Al-Ittihad berakhir dengan 10 pemain selepas N’Golo Kante dibuang padang kerana terjahan berbahaya ke atas bekas rakan sepasukannya di Chelsea, Kalidou Koulibaly ketika berbaki 25 minit dengan pengadil Shuan Evans memutuskannya selepas semakan VAR.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Jeddah Selasa depan, dengan pemenang berdepan sama ada Al-Ain dari Emiriah Arab Bersatu atau kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr pada separuh akhir bulan depan.

Al-Ain meraih kelebihan 1-0 selepas menundukkan kelab Liga Pro Saudi itu pada aksi pertama kelmarin.

Mitrovic meledak menerusi sepakan penalti untuk meraih gol ke-30 dalam 31 perlawanan bagi semua pertandingan sejak menyertai Al-Hilal dari Fulham selepas dia dijatuhkan oleh Madallah Al-Olayan.

Al-Dawsari kemudiannya menambah gol kedua pasukannya apabila Malcom menyambut hantaran lambung Ruben Neves sebelum melakukan hantaran silang leret yang disudahkan oleh Pemain Terbaik Tahunan Asia itu dengan sepakan padu.

Terdahulu, Ulsan Hyundai seri 1-1 di Jeonbuk Motors apabila jaringan lewat Lee Myung Jae memadamkan gol pembukaan minit keempat jaringan Song Min Kyu pada suku akhir pertama di Stadium Piala Dunia Jeonju.

Myung Jae meledak 13 minit sebelum tamat untuk menyamakan kedudukan menjelang aksi kedua di Ulsan Selasa depan dengan penyerang Jeonbuk dari Brazil, Tiago Orobo gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama.

sumber:- BH

Jeonbuk mendahului apabila Min Kyu menyudahkan satu penamat jarak dekat melepasi penjaga gol Jo Hyeon Woo selepas Lee Dong Jun meluru di sayap kanan untuk melakukan hantaran silang tepat yang memecah benteng pertahanan lawan. – REUTERS