Paris: Bintang Brazil, Neymar menamatkan tempoh 18 bulan yang dilanda kecederaan di Arab Saudi selepas kelabnya, Al-Hilal, mengumumkan bahawa mereka “bersetuju untuk menamatkan kontrak pemain itu dengan persetujuan bersama.”
“Kelab mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Neymar atas apa yang dia sumbangkan sepanjang kariernya bersama Al-Hilal dan mengucapkan selamat berjaya dalam kariernya,” kata kenyataan kelab yang disiarkan di media sosial.
Penyerang berusia 32 tahun yang pernah bermain untuk Barcelona dan Paris Saint-Germain itu hanya beraksi tujuh kali sejak menyertai kelab itu pada Ogos 2023, walaupun dilaporkan menerima gaji sekitar AS$104 juta setahun (RM456.39 juta).
Neymar, yang menjadi subjek perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak apabila beliau menyertai Paris Saint-Germain dari Barcelona pada 2017 dengan yuran perpindahan sebanyak €220 juta (RM1.01 bilion ketika itu), menyertai Al-Hilal pada Ogos 2023.
Dia mengikuti jejak pemain bintang yang lain seperti Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema dengan menyertai liga Saudi yang menguntungkan itu.
Namun, dua bulan selepas ketibaannya di Riyadh, Neymar mengalami kecederaan ligamen cruciate di lutut kirinya ketika bermain untuk Brazil dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2023, yang memaksanya untuk berehat sepanjang tahun.
Dia kembali bermain untuk Al-Hilal dengan dua penampilan singkat pada Oktober dan November, tetapi kemudiannya mengalami kecederaan hamstring dan belum beraksi sejak itu.
Neymar berkata bahawa beliau mensasarkan untuk bermain di Piala Dunia.
Jurulatih kelab itu, Jorge Jesus, baru-baru ini berkata: “Dia sudah tidak dapat bermain pada tahap yang biasa kami lihat. Keadaan menjadi sukar untuknya, malangnya,” katanya.
Pada awal Januari, Neymar berkata beliau berhasrat untuk bermain di Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico.
sumber:-HM
“Saya tahu ini akan menjadi Piala Dunia terakhir saya, peluang terakhir saya dan saya akan melakukan segala yang saya boleh untuk memainkannya,” katanya kepada CNN.