sukan

Alasan Arteta selepas Arsenal tersingkir

NEWCASTLE, England: Arsenal kurang tenang seperti kebiasaannya, menurut pengurus Mikel Arteta ketika pasukannya tersingkir pada separuh akhir Piala Liga Inggeris menerusi kekalahan agregat 4-0 di tangan Newcastle United awal pagi tadi.

Arteta berkata pasukannya hadir dengan jangkaan tinggi mereka boleh mengatasi defisit 2-0 daripada aksi pertama, tetapi selepas Martin Odegaard terlepas satu peluang keemasan, cabaran mereka pudar.

Kurang dua minit sesudah Odegaard terlepas peluang itu, Jacob Murphy menambah kesukaran Arsenal dengan menyempurnakan satu bola muntah selepas rembatan Alexander Isak terkena palang.

“Untuk mempercayai kami boleh mengubah keadaan, kami perlu menjana momentum, terutamanya pada babak pertama,” kata Arteta kepada wartawan.

“Kemudian kami mempunyai detik kami, dua detik besar, dengan Martin, kami gagal menyempurnakannya, mereka menjaringkan gol dan jelas sekali, perlawanan beralih arah.

“Kemudian, anda perlu terus bertenang, untuk menjaringkan satu gol secepat mungkin. Kami tidak berjaya melakukannya pada babak pertama sekalipun kami ada satu lagi peluang besar. Pada babak kedua kami mula bergelut. Perlawanan semakin menjauh daripada kami.”

Arsenal diasak bertali arus oleh Newcastle dengan pemain pertahanan Gabriel dan William Saliba kelihatan panik di bawah tekanan.

“Benar hari ini kami tidak begitu selesa, terutamanya apabila permainan menjadi lebih kecoh atau apabila mereka dibiarkan bermain dengan cara mereka,” kata Arteta.

“Kebiasaannya kami lebih tenang, hari ini kami kurang dari segi itu dan permainan semakin sukar buat kami.”

Arsenal sudah tersingkir daripada Piala FA jadi mereka akan menggunakan kesempatan tidak beraksi hujung minggu ini dengan berkunjung ke Dubai bagi latihan dalam cuaca panas yang diharapkan Arteta menjadi tonik bagi bulan-bulan terakhir perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

“Pertama sekali, saya fikir ini sesuatu yang amat menyakitkan dan ketika kami di Dubai, pulihkan diri dan bangkit semula kerana kami masih ada banyak perlawanan yang perlu ditempuhi,” kata Arteta. – REUTERS